Siasatan Ismail Sabri masuk fasa isytihar harta - SPRM


Siasatan Ismail Sabri masuk fasa isytihar harta - SPRM

08 April 2025 11:25pm
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa minggu lagi.

Difahamkan, proses merekod keterangan itu akan memasuki fasa yang menumpukan pengisytiharan harta.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, terdapat beberapa perkara penting akan diambil dalam rakaman percakapan selepas ini.

"Pegawai penyiasat akan memanggilnya semula untuk menjelaskan beberapa perkara termasuklah berkaitan dokumen dan saksi sokongan dalam pengisytiharan harta yang dikemukakan beliau sebelum ini," katanya pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Ismail Sabri kali terakhir dirakam keterangan pada 24 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Perdana menteri kesembilan disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Pada 3 Mac, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam sebuah 'safe house' susulan serbuan dilakukan pihaknya.


SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ulasan