‘Sidang DUN Perak ‘dikawal’ DAP, Umno tak bersuara pun’


‘Sidang DUN Perak ‘dikawal’ DAP, Umno tak bersuara pun’
April 17, 2025

TAPAH: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, penggantungan yang dikenakan terhadap Ahli Dewan Negeri (ADN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria tidak seharusnya dijadikan amalan di negara ini.

Menurut beliau, ini kerana kebebasan bersuara dan amalan demokrasi perlu dijadikan panduan dalam Persidangan Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) di negara ini.

“Sepatutnya kita lawan hujah dengan hujah. Nak buat macam mana pun, memang kita tahu, kuasa majoriti mengatasi kuasa minoriti,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai dalam pada itu melihat Dewan Negeri Perak ketika ini ‘dikawal’ oleh DAP dengan memiliki sebanyak 18 kerusi walaupun diketuai Menteri Besar daripada Umno.

“Kebanyakan daripada ADN Umno tak bersuara banyak mana pun. Mereka tahu kedudukan mereka apa dia. Mereka hanya bergantung harap ihsan daripada DAP yang menyebabkan mereka boleh duduk di dalam kerajaan.

“Walaupun pada peringkat awalnya Umno dan Perikatan Nasional (PN) sudah dapat membentuk Kerajaan Negeri Perak, kerana untuk membentuk Kerajaan Negeri Perak kita hanya perlukan 30 kerusi sahaja daripada 59.

“Sedangkan kalau dicampur dengan Perikatan Nasional yang terdiri daripada 26 kerusi, campur dengan sembilan kerusi (BN), ertinya kita ada 35 kerusi. Tetapi mereka (Umno) sanggup tinggalkan kita (PN).

“Hari ini kita tengok bahananya. Kita juga dapat melihat pengundi-pengundi di peringkat bawah DUN Ayer Kuning ini yang tidak berpuas hati terdiri daripada penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Terdahulu, Persidangan Dewan Perak menggantung Razman yang juga Ketua Pembangkang daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta, semalam.

Keputusan itu dibuat Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas usul syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri terhadap Razman dibawa ADN Bercham, Ong Boon Piow dipersetujui. – HARAKAHDAILY 17/4/2025

Ulasan