
Sokongan pengundi Melayu jadi fokus PRK Ayer Kuning
Perang bendera Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di pasang di jalan utama di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Tapak, Perak semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Oleh ASLINDA NASIR
18 April 2025, 7:22 am
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning merupakan ujian buat Barisan Nasional (BN) mengukur prestasinya terutama penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu yang membentuk 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, PRK DUN Ayer Kuning cukup menarik kerana ia akan mengambarkan pendirian terhadap kerajaan terutama pengundi Melayu terhadap kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) yang mencecah tempoh tiga tahun.
“PRK Ayer Kuning menarik kerana melibatkan 60 peratus pengundi Melayu dan 40 peratus bukan Melayu. Jadi, ia dapat memberi gambaran adakah keputusan pengundi mencerminkan sikap pendirian rakyat pada hari ini.
“Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan adalah daripada UMNO, dalam erti kata lain, pertandingan antara dua parti Melayu dan ia merupakan cabaran buat mereka, khususnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membawa UMNO bekerjasama dengan PH.
“Sebab itu saya tidak fikir orang Melayu tidak keluar mengundi kerana mereka ingin menunjukkan kemana sokongan mereka akan pergi. Pengundi akan melihat prestasi UMNO, apa yang menguntuntungkan parti dan orang Melayu sepanjang berada dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan BN diwakili calon mereka iaitu Dr. Mohamad Yusri Bakir yang dicabar oleh calon Perikatan Nasional (PN), Abd. Muhaimin Malek dan Bawani KS mewaklili Parti Sosialis Malaysia.
Mengulas lanjut pola pengundian bagi pengundi bukan Melayu pula, Wan Ahmad berkata, beliau menjangkakan peratusan yang keluar mengundi akan rendah berikutan pertembungan utama dalam PRK tersebut di adalah di antara dua parti Melayu sahaja.
“Bagi pengundi bukan Melayu, mereka melihat ini antara Melayu dengan Melayu dan saya menjangkan peratusan pengundi bukan Melayu akan rendah,” katanya.-UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan