Sokongan terhadap Fatwa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkenaan isu Gaza

Sokongan terhadap Fatwa Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berkenaan isu Gaza
April 7, 2025
PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) dengan ini menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa terkini yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Islam Sedunia berhubung situasi tragik dan berterusan di bumi Gaza yang kini menyaksikan pencerobohan zalim oleh entiti Zionis serta pelanggaran terhadap gencatan senjata yang sepatutnya dihormati.
Ketegasan yang diambil oleh Kesatuan Ulama Islam Sedunia ini adalah selari dengan pendirian dan seruan PAS yang konsisten dalam isu Palestin, yang menuntut kepada dukungan seluruh umat Islam merentasi perbezaan fahaman dan mazhab melibatkan peranan pemimpin, ulama’ dan masyarakat.
Fatwa ini bukan sahaja menjunjung tinggi prinsip-prinsip Islam yang menuntut keadilan dan pembelaan terhadap umat yang tertindas, malah ia juga merupakan satu seruan yang tegas dan syar’i kepada seluruh dunia Islam untuk bangkit melaksanakan tanggungjawab mereka.
Antara isi penting fatwa tersebut yang perlu diberikan perhatian serius oleh semua pihak adalah:
1. Kewajipan berjihad dengan senjata bagi setiap Muslim yang berkemampuan demi membebaskan Palestin daripada penjajahan.
2. Kewajipan campur tangan ketenteraan segera oleh negara-negara Arab dan Islam untuk menghentikan pencerobohan serta mempertahankan rakyat Palestin.
3. Kewajipan mengepung entiti Zionis dari segala arah – darat, laut dan udara – termasuk menutup laluan air, selat dan ruang udara yang berada dalam kawalan negara-negara Islam.
4. Sokongan menyeluruh kepada perjuangan Palestin, termasuk dalam aspek ketenteraan, kewangan, politik dan hak asasi manusia, adalah suatu kewajipan agama.
5. Penubuhan pakatan ketenteraan Islam bagi melindungi umat Islam dan menghalang pencerobohan adalah satu tuntutan mendesak syarak.
6. Haram menjalinkan sebarang bentuk normalisasi dengan Zionis yang merampas hak dan maruah umat Islam.
7. Haram membekalkan minyak dan gas kepada pihak penjajah yang menindas rakyat Palestin.
8. Perlunya penilaian semula terhadap perjanjian damai yang dimeterai oleh beberapa negara Arab dengan Zionis.
9. Kewajipan berjihad dengan harta untuk membantu saudara kita di Gaza serta mendesak pembukaan laluan sempadan untuk bantuan kemanusiaan.
10. Seruan kepada masyarakat Muslim di Amerika Syarikat agar mendesak pentadbiran kerajaan untuk menunaikan janji politik dalam menghentikan pencerobohan dan memulihkan keamanan.
PAS menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia untuk bersama-sama menginsafi dan menghayati isi kandungan fatwa ini, serta memperkasakan usaha membantu saudara kita di Palestin melalui doa, sumbangan, pendidikan dan apa jua cara yang termampu.
Kita tidak boleh lagi berdiam diri atau sekadar menjadi pemerhati kepada kezaliman yang berlaku. Ini adalah medan ujian bagi keimanan dan maruah umat Islam seluruhnya.
Palestin, perjuangan tidak bernoktah, sokongan tidak bermusim.
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Syawal 1446 / 7 April 2025 – HARAKAHDAILY 7/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan