‘Tak masuk akal’: Zaid kecam ibu curi makanan dihukum penjara 3 bulan



Berita
‘Tak masuk akal’: Zaid kecam ibu curi makanan dihukum penjara 3 bulan

Diterbitkan: Apr 23, 2025 5:28 PM
Dikemaskini: 5:30 PM

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim meluahkan kemarahan terhadap hukuman penjara tiga bulan ke atas seorang ibu yang ditangkap mencuri makanan untuk anak-anaknya, sambil mempersoalkan tahap latihan golongan majistret.

Menyifatkan hukuman itu sebagai satu lagi contoh “hukuman tak masuk akal”, Zaid bertanya:

“Bagaimana kita mendidik majistret kita?”

“Bolehkan kita rombak cara prinsip penjatuhan hukuman dilaksanakan agar selari dengan realiti keras kehidupan orang miskin biasa,” katanya pada satu hantaran di media sosial.

Zaid turut membandingkan insiden tersebut dengan sebuah video yang mendakwa keluarga Melayu terkaya di negara ini memiliki kekayaan mencecah RM370 bilion.

Menyeret perhatian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Zaid menyoal:

“Apa PMX (Anwar), (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) Nancy Shukri dan badan kehakiman akan sekarang?”

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dilapor menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Lini Ahmat, 38, selepas dia mengaku bersalah mencuri dari sebuah pasar raya pada Sabtu lalu.

Majistret Aina Azahra Arifin memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan pada 19 April.

Lini didakwa mencuri 30 jenis barangan daripada pasar raya di Brickfields, termasuk produk penjagaan diri, roti, telur, biskut, susu soya, tisu dan ubat gigi, yang kesemuanya bernilai RM374.69.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Ketika rayuan, peguam Qurratu 'Aini Zafirah Mat Shoib yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya melakukan kesalahan itu kerana tertekan dari segi kewangan.

"Anak guam saya tidak bekerja, dan suaminya baru mendapat pekerjaan selepas mereka sekeluarga berpindah dari Sarawak ke sini (Kuala Lumpur).

"Dia berada dalam keadaan terdesak dan tidak mempunyai wang untuk membeli keperluan asas," katanya.

Peguam itu turut memaklumkan Lini mempunyai seorang anak berusia enam bulan dan menanggung bapa yang uzur berumur 76 tahun.

Ulasan