
"Tak wujud tangan ghaib" - Zaliha
Oleh Samadi Ahmad - April 17, 2025 @ 2:49pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa bercakap dengan media selepas program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.
PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pemilihan PKR menafikan dakwaan wujud 'tangan ghaib' yang cuba mempengaruhi proses pemilihan peringkat cabang yang berlangsung di tujuh negeri baru-baru ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan pihaknya bekerjasama rapat dengan pasukan pembangunan sistem pemilihan secara dalam talian bagi memastikan kelancaran dan ketelusan proses pengundian.
"Kami mempunyai juruaudit yang memantau keseluruhan proses pemilihan ini.
"Setakat ini, saya perhatikan sepanjang proses ini berlangsung, saya tidak melihat sebarang petunjuk wujudnya 'tangan ghaib' seperti yang didakwa," katanya ketika ditemui selepas Seminar Modul Pengukuhan Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah (MPGIA) Jabatan Wilayah Persekutuan, hari ini.
Sebelum ini, dilaporkan beberapa nama besar dalam PKR dilaporkan tewas dalam pemilihan cabang parti itu yang berlangsung baru-baru ini.
Keadaan itu menyebabkan calon yang tewas membuat aduan dan mempertikaikan sistem undian yang dilaksanakan dan mendakwa ada tangan ghaib yang campur tangan dalam proses pengundian.
Turut tular sebuah video di media sosial yang mendakwa terdapat calon mengamalkan politik wang dalam pemilihan.
Dr Zaliha, pemantauan dilakukan secara teliti dan menyeluruh oleh jawatankuasa berkenaan.
"Kalau ditanya secara peribadi, saya selaku pengerusi, dan juga ahli-ahli jawatankuasa pemilihan parti, kami sendiri tidak tahu siapa 'chai', siapa ketua pasukan atau dari kumpulan mana.
"Mungkin kami kenal beberapa individu sebagai ahli parti, tetapi parti ini mempunyai keahlian yang sangat besar," jelasnya.
Dr Zaliha mengulangi nasihatnya supaya mereka yang tidak berpuashati dengan keputusan undian menyalurkan aduan secara rasmi jika mempunyai maklumat berhubung politik wang atau salah laku sepanjang Pemilihan PKR 2025.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil jika dakwaan berasas terbukti benar.
Menurutnya, amalan salah laku tidak sepatutnya berlaku dalam proses pemilihan yang seharusnya mengutamakan integriti kepimpinan.
"Saya serahkan kepada JPP yang diketuai oleh Datuk Ahmad Kassim yang juga Ketua Unit Bantahan untuk menyiasat segala aduan yang diterima," katanya.
Fasa pertama pemilihan Cabang, AMK Cabang dan Wanita Cabang di tujuh negeri telah berlangsung dari 11 hingga 13 April lalu.
Fasa kedua pula akan bermula 18 hingga 20 April di Kelantan, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
Dr Zaliha menegaskan tidak akan menolak sebarang aduan malah akan diteliti dengan telus.
Katanya, adalah diharapkan proses pemilihan kali ini berjalan dengan baik dan dapat memilih pemimpin berwibawa yang mendapat kepercayaan rakyat dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Walaupun berbeza pandangan dalam pemilihan, kita perlu bersatu demi memastikan PKR terus relevan," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan