Tamatkan riwayat DAP dalam politik tanah air Malaysia


Tamatkan riwayat DAP dalam politik tanah air Malaysia
April 25, 2025

TAPAH: DAP mesti ditamatkan riwayatnya dalam politik tanah air Malaysia untuk menimbulkan semula keharmonian dan kedamaian antara rakyat pelbagai kaum di negara ini, tegas Dato’ Muhammad Sanusi Md Nor.

Seru beliau, usaha itu mesti ditunjukkan dengan memberikan satu isyarat besar kepada politik tanah air bermula dengan mengundi calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek di PRK DUN N.48 Ayer Kuning pada 26 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PN yang juga Menteri Besar Kedah itu berucap demikian dalam Ceramah Grand Finale PERIKATAN NASIONAL (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning di Taman Golf, Bidor, di sini malam tadi.

Menurut beliau, banyak peristiwa-peristiwa besar berlaku dalam tempoh dua tahun ini yang menggoncang hubungan antara kaum di mana memanas, mengoyak dan merobek kontrak sosial telah dipersetujui puluhan tahun lamanya sejak merdeka.

“Saban hari kita dapat saksikan di bawah kerajaan yang kononnya dikatakan Kerajaan Perpaduan, berpakat antara ‘Hoi ya hoi’ dan yang anti ‘Hoi ya hoi’ (mereka) tubuh kerajaan. Kontrak sosial yang membentuk negara ini mencapai kemerdekaan tahun 1957 dengan persetujuan orang tua-tua kita, akhirnya semakin hari semakin dirobek.

“Sebab itulah dalam siri-siri kempen pilihan raya kecil Perikatan Nasional mula mendekati semula kaum-kaum yang ada di negara ini. Dalam pelbagai pendekatan dan saya memilih pendekatan sukan dan pendekatan tradisional untuk kita gabung jalinkan semula hubungan sesama kita,” ujarnya.

Katanya, sejarah negara ini sejak lebih 70-80 tahun dulu, orang-orang Melayu telah menerima dengan baik kehadiran kaum-kaum lain dalam mencari keharmonian dan kedamaian di negara ini sama ada mereka datang sendiri atau dibawa penjajah ke lombong atau ladang.

Sanusi sendiri dalam ucapan itu menceritakan bahawa datuknya berasal daripada Tanah Besar China dan berkahwin dengan neneknya seorang Melayu hingga beranak-pinak berketurunan di negara ini di mana beliau merupakan generasi ketiga.

“(Tetapi) Sejak tertubuhnya sebuah parti pada tahun 1963 kepanasan antara kaum mula terasa dan kemuncaknya tahun 1969 tercetus peristiwa 13 Mei. Ini fakta sejarah. Kemudian itu negara kita terus berjalan. Pelbagai kaedah difikirkan oleh para pemimpin negara.

“Ditubuhkan Kerajaan Perikatan campur dengan PAS masuk dalam itu bermula tahun 1973 untuk meredakan suhu perkauman yang telah tercetus dari peristiwa besar 13 Mei. Sampai tahun 1978 pilihan raya umum, dibuat rancangan menendang keluar PAS daripada Barisan Nasional.

“Kerana mungkin mereka sudah menemui formula itu. Mengenepikan sebuah parti Islam. Selepas parti yang tubuh tahun 1963 itu dapat kerusi, sekarang ni ada 40 kerusi. ‘Tension’ (tekanan) antara kaum muncul semula.

“Muncul keberanian untuk menanggalkan bulan sabit sebagai lambang kepada agama Islam di negara ini di Jalur Gemilang. Tiba-tiba meletup. Peristiwa ni tak pernah terjadi. Hanya terjadi ketika parti tahun 1963 itu ada kuasa di negara ini.

“Berturut-turut dalam dua akhbar berbahasa Cina disiarkan sempena kehadiran Presiden China, dibuang bulan sabit itu,” ujarnya walaupun tidak menyebut nama parti tersebut dalam ucapannya namun hadirin melaungkan nama DAP.

Menurutnya, rakyat Malaysia terdiri daripada kaum Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli dan lain-lain lagi telah hidup aman damai, tetapi apabila ada ahli-ahli politik yang meniupkan isu perkauman maka tekanan itu muncul semula.

“Tak cukup dengan akhbar Cina, kelmarin, kementerian sendiri buat di sekolah, bendera tak cukup jalur, bintang ada dua. Awat susah sangatkah nak lukis Jalur Gemilang ni? Saya rasa tak susah. Kesilapan demi kesilapan terjadi.

“Nampak macam silap tapi ‘dhomir’ atau ‘instinct’ kita mengatakan ini semua adalah perbuatan yang disengajakan. Maka untuk hidup aman, tenteram, damai di negara ini, satu formula pertama yang mesti dilaksanakan.

“Mesti dilakukan oleh seluruh rakyat Malaysia adalah, kalahkan parti (yang ditubuhkan tahun) 1963 itu dalam politik Malaysia. Kena bagi dia nyah daripada politik tanah air. Jangan bagi dia menang, jangan bagi dia kuasa. Masa dia kuat ni jadi macam-macam.

“Memang mulut dia manis. Lidah dia lembut. Depan kita pijak semut tak mampus. Belakang kita dia cakap lain. Dia cakap Mandarin, dia cakap Kantonis. Kita tak tahu,” bidasnya terhadap sikap perkauman parti tersebut.

Tegas Sanusi, pihak yang meniupkan perkauman di negara ini bukan PN, bukan PAS dan bukan BERSATU tetapi adalah DAP, maka ia perlu dikalahkan walaupun terdapat golongan bergayut dengan DAP demi mendapat kerusi, jawatan atau menjadi Menteri.

Mereka itu bidasnya, mempertahankan DAP seperti mempertahankan ibu bapa mereka termasuk di DUN Ayer Kuning ini apabila berlakunya pertembungan antara PN dan juga Barisan Nasional (BN).

Beliau mengingatkan bahawa BN hari ini telah duduk bersama DAP iaitu parti yang bahaya dan cauvinis perkauman walaupun mereka tampil dengan lidah dan gigi yang lembut.

“Tapi percayalah sejarah telah menunjukkan rentetan penubuhan DAPlah, negara kita semakin hari semakin panas dengan perkauman. Dia habaq 3R tak boleh cakap. Perkauman tak boleh cakap, agama tak boleh cakap, raja tak boleh cakap.

“Lepas itu kita nak cakap apa? Buat kerja agama kita tak cakap? PAS kena cakap bab agama. Parti Islam. Perkauman ni kena cerita juga sebab musabab panasnya hubungan antara kaum di negara ni,” ujarnya.

Muhammad Sanusi sehubungan itu menegaskan pengundi PRK Ayer Kuning mesti memberi undi kepada PN dan menolak BN untuk menamatkan riwayat politik DAP. – HARAKAHDAILY 25/4/2025

Ulasan