Tangguh, batalkan Majlis Aidilfitri Madani
April 5, 2025
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang mengecam keras keputusan kerajaan untuk meneruskan penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 secara besar-besaran di seluruh negara ketika rakyat, terutama mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights berdepan detik paling getir dalam hidup mereka.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan perlu menunjukkan keutamaan yang jelas iaitu membela nasib mangsa, bukan meraikan majlis penuh glamor menggunakan dana rakyat.
Menurutnya, letupan yang berlaku mencederakan puluhan mangsa, serta memusnahkan banyak harta benda dan punca rezeki warga setempat.
Namun, katanya jumlah bantuan tunai sebanyak RM5,000 yang diumumkan kerajaan kepada mangsa bencana berkenaan tidak mencukupi.
“Pengumuman bantuan tunai sebanyak RM5,000 adalah jauh dari mencukupi. Jumlah itu bahkan tidak mampu menampung kos asas seperti pembaikan rumah rosak, penggantian peralatan asas, atau rawatan perubatan yang berterusan.
“Ini bukan soal memberi ‘sagu hati’, ini soal memulihkan kehidupan rakyat yang terkesan. Menghamburkan jutaan ringgit untuk sambutan Aidilfitri rasmi dan pada masa sama hanya memperuntukkan RM5,000 kepada mangsa tragedi adalah penghinaan kepada penderitaan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa sambutan Aidilfitri seharusnya menjadi hari kemenangan dan kesyukuran, namun tidak bermakna jika rakyat yang ditimpa musibah terpaksa tidur di pusat pemindahan, manakala kerajaan berbelanja besar untuk majlis rasmi.
Secara moral, katanya Majlis Aidilfitri Madani wajar ditangguhkan kerana rakyat tidak akan lupa nilai kemanusiaan dan empati, selain rakyat akan menghormati kerajaan yang memilih untuk merendah diri dan fokus kepada pemulihan dan bantuan pascabencana.
Katanya, dana yang mencecah antara RM10 juta hingga RM20 juta dengan mengambil kira kos katering mewah, pentas, logistik dan protokol VIP, lebih bermakna jika disalurkan untuk membaik pulih kediaman mangsa; menyediakan rawatan perubatan dan sokongan kesihatan mental.
“Bantuan tunai perlu menyeluruh kepada keluarga yang kehilangan punca pendapatan serta penempatan sementara yang selesa dan selamat,” katanya.
“Kerajaan perlu insaf dan segera membatalkan atau menangguhkan semua Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 di peringkat pusat dan negeri, salurkan semula peruntukan majlis itu kepada tabung khas bantuan mangsa letupan gas Putra Heights.
“Tubuhkan Jawatankuasa Khas Parlimen untuk menyiasat punca kejadian serta memantau bantuan dan pemulihan. Kerajaan perlu sedar keutamaan sebenar bukan persepsi politik, tetapi penderitaan rakyat. Rakyat tidak perlukan khemah besar dan artis popular. Rakyat perlukan keprihatinan, kecekapan, dan keadilan sosial.
“Aidilfitri seharusnya menjadi detik keinsafan, bukan pesta pembaziran,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan