
Tarif baharu AS: Malaysia akan terus jalin kerjasama, cari penyelesaian

Oleh Fahmy A Rosli - April 4, 2025 @ 9:23pm
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus menjalinkan kerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mencari penyelesaian yang adil dan saksama berhubung isu tarif timbal balik yang diumumkan Presiden Donald Trump.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan langkah itu selaras dengan semangat untuk mengekalkan hubungan positif dan progresif dengan semua rakan dagang.
"Dalam tempoh mencabar ini, kerajaan akan terus mengutamakan kepentingan Malaysia demi kesejahteraan rakyat, perniagaan dan pengeksport kita," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang tadi mempengerusikan satu mesyuarat khas jawatankuasa mengenai isu tarif dan tekanan AS.
Mesyuarat itu dihadiri Jemaah Menteri, Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Mohd Hassan Marican.
Menurut MITI, mesyuarat itu membincangkan pelbagai langkah utama bagi menangani gelombang tarif baharu yang diumumkan Trump selain usaha mengukuhkan rantaian bekalan serta mempelbagaikan kepentingan perdagangan serta pelaburan.
Ia termasuk pembabitan strategik peringkat tertinggi dengan AS yang akan diteruskan dengan memanfaatkan Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-AS (TIFA).
"MITI dan kementerian berkaitan akan terus berinteraksi dengan industri dan pengeksport untuk kita semua bersama-sama menghadapi tempoh mencabar ini secara pendekatan menyeluruh negara, dengan matlamat untuk menyokong sektor industri yang terjejas dalam mengurangkan impak tarif ini," katanya.
Mengenai kesan pengumuman tarif baharu itu, MITI memaklumkan bahawa ia masih dalam penilaian meskipun unjuran awal dibuat secara berhati-hati, skop dan keterukan tarif yang dikenakan melebihi jangkaan paling konservatif.
Oleh itu, MITI memaklumkan bahawa unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus kini sedang dikaji semula.
"Kesan sebenar dijangka ketara dan akan menjadi lebih jelas setelah maklumat lanjut diterima mengenai garis masa pelaksanaan, kadar tarif, liputan produk (termasuk pengecualian) dan hasil rundingan perdagangan. Kepantasan dan skala tindakan balas daripada ekonomi lain juga akan mempengaruhi hasil akhir.
"Kerajaan MADANI tidak menjangkakan kemelesetan atau kelembapan asas ekonomi. Unjuran pertumbuhan ekonomi masih positif disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh, pelaburan domestik yang mantap, hasil pelancongan yang sihat, dan pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.
"Asas ekonomi negara yang kukuh membolehkan kita menghadapi cabaran ini dengan kesiapsiagaan dan kekuatan," jelas MITI.
Di peringkat ASEAN pula, MITI memaklumkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini akan mengadakan Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN pada 10 April depan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan bertindak mempengerusikan mesyuarat terbabit yang dijangka membincangkan implikasi lebih luas terhadap aliran perdagangan dan pelaburan serantau akibat pengumuman kenaikan tarif oleh AS.
"Perbincangan juga menyentuh kestabilan makroekonomi serta tindak balas bersepadu ASEAN dalam mempertahankan kepentingan ekonomi rantau dan komitmen jangka panjang terhadap sistem perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan.
"Seterusnya, pemimpin ASEAN akan bermesyuarat untuk membincangkan hala tuju ASEAN serta menangani dan mengurangkan gangguan yang berpotensi terhadap perdagangan serantau, rangkaian bekalan dan pelaburan rentas sempadan.
"Ini adalah untuk memastikan ASEAN kekal sebagai hab perdagangan dan pelaburan global yang stabil, kompetitif dan menarik," kata MITI.
Ulasan
Catat Ulasan