
‘Terlalu tolak ansur, akhirnya kaduk naik junjung!’
Kes Jalur Gemilang tidak sempurna
April 17, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat bimbang isu berkaitan Jalur Gemilang dilihat semakin menjadi-jadi, khususnya membabitkan tindakan sebuah akhbar berbahasa Cina memaparkan bendera negara tanpa lambang bulan sabit.
Ketua Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu menambahkan lagi kebimbangan terhadap siri isu yang timbul sebelum ini melibatkan Jalur Gemilang dan dilihat seolah-olah kedaulatan negara ini tidak lagi dihormati.
“Jalur Gemilang adalah lambang kepada sebuah kedaulatan. Ironinya, saban hari isu ini tidak pernah reda. Daripada isu bendera yang dipasang terbalik, pengibaran bendera asing tanpa sempadan, sehinggalah kepada isu bendera di akhbar berkenaan.
“Seolah-olah kedaulatan negara ini begitu rapuh dan tiada nilainya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan tindakan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sudah tiba masanya tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap pihak yang sengaja mencetuskan suasana tidak tenteram serta boleh mengundang ancaman terhadap keselamatan awam.
Menurutnya, semua pihak sepatutnya sedar bahawa isu bendera adalah isu sensitif dan tidak boleh dipandang ringan.
“Penghinaan kepada kedaulatan negara bukan bermaksud bendera itu dipijak semata-mata, bahkan juga apabila ia dipasang tidak seperti yang sepatutnya.
“Jangan terlalu bertolak ansur. Kelak kaduk naik junjung!” katanya. – HARAKAHDAILY 17/4/2025
Ulasan
Catat Ulasan