Tiada siapa mahu lengahkan siasatan
Oleh Ismail Daud
8 April 2025, 7:15 am
Kejadian letupan dan kebakaran akibat kebocoran paip gas di Putra Heights pada pagi hari raya kedua lalu memang menggemparkan. Tidak pernah berlaku kejadian seumpama itu di negara ini yang menyaksikan bebola api menjulang tinggi. Pemandangan yang berjaya dirakam banyak pihak itu biasanya hanya dapat dilihat dalam filem-filem aksi.
Akibat kejadian itu, 145 orang dilaporkan cedera dengan 67 mangsa dimasukkan ke hospital berikutan kecederaan yang serius manakala 49 orang menerima rawatan di pusat rawatan yang dibuka di kawasan kejadian.
Dalam kejadian yang mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya, 439 rumah terjejas, namun 220 buah disahkan selamat untuk diduduki. Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan besar melebihi 20 peratus manakala 132 rumah mengalami kerosakan kurang daripada 20 peratus. Secara keseluruhan, sejumlah 1,254 orang daripada 308 keluarga terlibat.
Kejadian itu juga mencetuskan perbincangan dalam media sosial. Masing-masing cuba memberikan pandangan dan membuat pelbagai andaian. Kebanyakannya berdasarkan cerita yang didengar, tangkap layar dari media sosial dan rakaman dashcam kereta tanpa pergi pun ke lokasi kejadian.
Ramai yang mengagumi analisis media sosial ini yang dikatakan agak lengkap walaupun dibuat dalam masa yang singkat. Media arus perdana dikatakan terlalu berhati-hati dan banyak bergantung kepada sumber kerajaan, malah tidak berani mendedahkan nama pihak-pihak yang terlibat.
Akhirnya tiada satu pun analisis media sosial itu yang benar-benar boleh diterima pakai. Hanya sedap dibaca. Dalam tragedi sebesar itu, pemerhatian dan dengar cakap tidak boleh dijadikan asas. Semuanya mesti berasaskan fakta teknikal dan siasatan di lapangan. Ada proses, ada prosedur yang perlu diikuti.
Memanglah semua orang mahu tahu punca kejadian itu tetapi di peringkat awal ini, kebajikan mangsa perlu diutamakan. Namun, sejak hari pertama lagi, lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan sudah memulakan usaha untuk merungkai punca sebenar kejadian.
Cuma yang sangat tidak diharapkan ialah ada pihak yang cuba bermain politik. Ketua Pembangkang Selangor mendesak dipanggil sidang khas Dewan Undangan Negeri. Perlukah sidang DUN pada waktu ini? Apa jawapan yang kerajaan boleh berikan jika sidang itu diadakan sedangkan siasatan masih berjalan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mendakwa, ada nyawa yang terkorban dalam insiden itu sedangkan polis sudah mengesahkan tiada kehilangan jiwa berlaku. Ini sangat tidak bertanggungjawab.
Beliau turut menuduh pihak berkuasa cuba menyembunyikan sesuatu apabila enggan mendedahkan nama kontraktor yang terlibat sedangkan siasatan belum selesai. Ketua Penerangan Pas pula meminta Menteri Besar Selangor ‘bercuti’ kerana didakwa memberikan fakta yang bercanggah.
Semua pihak mahu jawapan kepada tragedi ini apatah lagi mangsa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Beri ruang dan masa kepada pihak berkuasa menyiasat. Kerajaan pun tidak mahu melengah-lengahkannya kerana satu dunia sedang menanti. – UTUSAN
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan/Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan