Tidak boleh dipandang ringan, PM jamin tiada layanan dua darjat



Berita
Tidak boleh dipandang ringan, PM jamin tiada layanan dua darjat

Diterbitkan: Apr 24, 2025 6:22 PM
Dikemaskini: 6:22 PM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan kegusaran terhadap beberapa insiden melibatkan Jalur Gemilang dan memberi jaminan bahawa siasatan berhubung kesilapan memaparkan bendera negara secara tidak lengkap akan dilakukan secara adil tanpa layanan dua darjat.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, perdana menteri memaklumkan bahawa sama ada sengaja atau tidak, apa yang berlaku itu tidak boleh dipandang ringan.

Tunku Nashrul Abaidah

“Kekhilafan ini dipercayai berpunca daripada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan imej tersebut.

“Sama ada sengaja atau tidak, hakikatnya ia tetap menyentuh sensitiviti nasional yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.

Menurut Tunku Nashrul, perdana menteri menegaskan bahawa tiada layanan dua darjat dalam isu tersebut.

“Siasatan dilakukan tanpa mengira pihak yang terlibat - sama ada media tempatan, syarikat antarabangsa mahupun agensi kerajaan.

“Prinsip keadilan dan hormat kepada simbol negara mesti ditegakkan oleh semua, tanpa pengecualian,” katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kesilapan pada Jalur Gemilang semasa pembentangan Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diedarkan hari ini.

Ini berlaku selepas Laporan Analisis SPM yang dikeluarkan hari ini, mengandungi Jalur Gemilang yang silap.

Gambar yang dipapakan menunjukkan pelajar di dalam bilik darjah, dengan Jalur Gemilang yang mempunyai dua bintang dan bukannya satu yang tergantung di dinding.

Bendera itu juga mempunyai lapan jalur merah dan putih dan bukannya 14.


Minggu lalu, Sin Chew Daily menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia.

Insiden itu menyaksikan kritikan pelbagai pihak, termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, yang bertitah bahawa pengurusan dan sidang pengarang akhbar berkenaan mesti lebih berhati-hati sebelum menerbitkannya.

Susulan tindak balas itu, akhbar berkenaan memohon maaf, dan menyatakan bahawa kesilapan tersebut adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

Akhbar itu juga telah menggantung dua editornya berhubung perkara tersebut.

Pada 19 April lalu, penganjur dan sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur memohon maaf kerana video yang dimainkan semasa acara tersebut memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Bendera dalam video itu dilaporkan juga tidak mempunyai bulan sabit.

Mengulas lanjut Tunku Nashrul berkata, walaupun perdana menteri menyambut baik inovasi dalam bidang teknologi termasuk AI yang kian meluas dalam pelbagai sektor namun, dia menegaskan bahawa AI tidak boleh mengambil alih tanggungjawab editorial dan kawalan kualiti oleh manusia.

“Setiap bahan yang melibatkan simbol negara atau sensitiviti rakyat mesti melalui semakan dengan teliti, dengan semangat hormat dan tanggungjawab bersama.

“AI ialah alat yang hebat tetapi jika ia digunakan secara cuai ia boleh mengundang implikasi terhadap keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.

Ulasan