Tragedi Putra Height dedah banyak anomali terbuka


Tragedi Putra Height dedah banyak anomali terbuka
April 6, 2025

Share

KUALA LUMPUR: Pengamal Undang-undang, Yusfarizal Yussoff berpandangan bahawa terdapat banyak anomali dalam tragedi letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Puchong pada kejadian yang berlaku 1 April baru-baru ini.

Anomali ialah suatu ketidakwajaran kepada keadaan atau peristiwa hingga berbeza atau tidak normal daripada yang dijangkakan atau kebiasaannya, juga secara penyimpangan daripada peraturan sedia ada.

Katanya, dalam kes kecuaian dibicarakan, antara bukti penting adalah keterangan saksi pakar yang bebas untuk menyemak dan memastikan versi laporan atau pandangan pihak disaman itu betul dan tepat berdasarkan metodologi sains dan munasabah.

“Ia mestilah sifar anomali. Dalam banyak keadaan, laporan atau pandangan pihak yang disaman mempunyai ‘conviction or confirmation bias’ dan menyerlahkan anomali. Maka perlunya pandangan kedua.

“(Iaitu pandangan) yang bebas daripada sebarang kepentingan ‘pecuniary’ atau ‘direct’ kepada kejadian dan pihak yang disaman, supaya setiap anomali dapat dijawab dengan berani,” ujar beliau turut mengemukakan contoh satu kes mahkamah.

Menurut beliau, dalam kes Batu Kemas lawan Tenaga Nasional Berhad (TNB), mahkamah menerima keterangan saksi pakar bebas iaitu seorang pakar elektrik mengenai ‘fault analysis’ berbanding seorang pakar elektrik daripada TNB.

Katanya, pakar elektrik daripada TNB gagal menjelaskan secara komprehensif sebab-sebab beberapa siri-siri kejadian yang berlaku, berbanding pakar bebas itu lebih berjaya menjawab setiap anomali dengan analisisnya.

“Teori kes adalah yang paling penting ketika ini. Dan setiap peguam yang mahir akan dapat membina teori yang dapat menjawab segala persoalan dan anomali fakta dalam sesuatu kejadian. Hari ini, kita sedang menyaksikan anomali mula terbuka,” ujarnya.

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Negeri Selangor itu turut membahaskan penggunaan logik sebagai analisis sesuatu secara mendalam, juga selaku ilmu teknikal agar perkara tersebut dikuasai sebaiknya.

Menurut beliau, logik sahaja tidak mencukupi, kerana hanya berfungsi dalam meletakkan kemungkinan-kemungkinan (possibility and plausibility) di peringkat sangat asas dan bukannya untuk membuat keputusan akhir.

“Namun sekiranya keputusan akhir ingin dibuat adalah keputusan terperinci, maka analisis teknikal diperlukan dan bukan analisis logik semata. Contoh, secara logiknya seorang budak yang demam panas, perlulah diberi makan panadol bagi menurunkan suhu.

“Tetapi apabila analisis teknikal dibuat, seperti ujian darah dan sebagainya, pakar perubatan mungkin memberikan rawatan yang lebih spesifik seperti antibiotik, dan rawatan lain lantaran daripada jangkitan kuman atau bakteria atau virus.

“Jadi kalau seorang budak itu demam surut naik surut naik, keputusan logik kita sudah tidak boleh dipakai kerana kita (yang tiada ilmu teknikal perubatan) tidak berupaya membuat analisis teknikal. Haruslah kita berjumpa pakar,” hujahnya.

Terang beliau lagi, memberikan pandangan dalam sesuatu isu pula bukan sekadar membina teori berdasarkan logik akal semata-mata, apatah lagi kalau isunya adalah bersifat teknikal yang disertakannya dengan beberapa pandangan.

Antaranya dengan penyataan, “Mesti paip pecah! Kalau bocor mesti dah boleh ‘detect’ awal”, juga “Mesti ada orang mati, tetapi dah jadi abu sebab suhu kebakaran melebihi 1000 darjah celcius”.

Selain, “Tak mungkin sebab BLEVE (ledakan yang dihasilkan dari kegagalan bejana berisi cairan pada suhu yang jauh di atas titik didihnya pada tekanan atmosfer normal) kalau macam tu paip di Terengganu dah lama meletup masa musim tengkujuh”.

“Yes its sounds logic at certain level of thinking. Peringkat asas untuk mencipta kemungkinan dalam diri. Tapi ia langsung tidak mencukupi, dan dalam banyak keadaan jauh daripada kebenaran,” ujarnya.

Jelas Yusfarizal atas pengalaman beliau, analisis teknikal juga kadang-kadang tersilap, lantaran daripada ketidaktelitian, atau terlepas pandang, iaitu sama ada disengajakan atau tidak.

Menurut beliau, dalam kes-kes kecuaian perubatan misalnya, banyak sekali keadaan doktor diputuskan cuai kerana tidak membuat analisis dengan betul atau terlepas pandang dalam membuat diagnosis yang menyebabkan rawatan yang salah.

Oleh yang demikian tegasnya, bukan sahaja sesuatu analisis tersebut tidak boleh bersandarkan logik semata-mata, bahkan analisis teknikal perlu dengan teliti dan mengambil kira semua aspek.

“Kita berhak memberikan pandangan. Ia adalah kebebasan bersuara dan negara ini adalah negara demokrasi. Namun logik kita (yang tidak ada ilmu teknikal) tidak boleh disandarkan untuk membuat keputusan ataupendirian yang tepat.

“Dan dalam beberapa keadaan, analisis pakar (yang sudah mempunyai ilmu teknikal) pun boleh tersilap sekiranya ia tidak dibuat dengan teliti. Maka, sama-samalah kita berhati-hati,” nasihatnya. – HARAKAHDAILY 6/4/2025


Ulasan