
Tragedi Putra Heights: 'Hujan batu berbara api timpa bumbung rumah saya'
Oleh Safeek Affendy Razali - April 5, 2025 @ 6:11pm
Mohd Khairul Amin (kiri) ketika ditemui di rumah sepupunya di Kampung Kuala Sungai Baru hari ini. - Foto NSTP/Safeek Affendy Razali
SUBANG JAYA: Seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong, mendakwa ratusan ketulan batu yang masih panas atau berbara api menghujani bumbung rumahnya semasa kejadian letupan saluran paip gas di Putra Heights, di sini, pagi Selasa lalu.
Mohd Khairul Amin Mohd Rashid, 38, berkata pada mulanya dia berasakan gegaran kuat yang dialami ketika sedang tidur sekitar jam 8 pagi adalah akibat gempa bumi, namun sangkaannya salah sebaik membuka pintu rumah.
"Sebaik buka pintu, saya dapat rasai bahang panas dengan persekitaran seakan-akan berwarna kemerah-merahan sebelum melihat ketulan batu berbara api jatuh dari langit.
"Saya kemudian menjerit mengarahkan isteri, tiga anak supaya lari meninggalkan rumah selepas rasa ada kebakaran besar berlaku.
"Pada masa sama, saya turut memikirkan keselamatan ibu, abang sulung, kakak dan anak buah yang lain yang mendiami rumah berhampiran namun tidak sempat menyelamatkan mereka akibat bahang yang teramat panas sehingga pada saya mencecah lebih 1,000 celcius panas," katanya ketika ditemui BH di rumah sepupunya di Kampung Kuala Sungai Baru hari ini.

Beliau berkata, ketika lari menyelamatkan diri, dia terus ke arah Sungai Kelang untuk terjun bagi menyejukkan badan akibat bahang panas, manakala isteri dan anaknya berlari ke arah berlainan melalui celah-celah unit kediaman lain.
"Ketika ke arah sungai dalam jarak 200 meter dari rumah yang sedang terbakar, saya diberhentikan oleh salah seorang penduduk kampung yang menawarkan tempat berlindung.
"Dalam keadaan panik itu, mereka bertanya mengenai keadaan keluarga saya iaitu ibu, abang dan saya beritahu mereka sudah tiada (meninggal) kerana menjangkakan rumah mereka terbakar sepenuhnya.
"Tidak lama selepas berlindung di rumah penduduk kampung, kami kemudian diminta untuk menuju ke Masjid Putra Height demi keselamatan akibat kebakaran yang berlaku.
"Alangkah terkejutnya saya apabila melihat kelibat tiga anak di pintu pagar masjid sebelum lari terus mendakap mereka.
"Semasa berada di masjid saya dihubungi teman memaklumkan ibu, Adi (abang sulung), kakak, adik dan anak buah diselamatkan anggota bomba dan penduduk kampung yang menemui mereka berlindung dalam bilik air," katanya sebak.
Dia hanya mengetahui mengenai kebakaran itu akibat daripada letupan saluran paip gas apabila dimaklumkan penduduk kampung.
"Sebenarnya kami sudah terbau sesuatu mencurigakan sehari sebelum hari raya, namun tidak menjangkakan ia berpunca daripada kebocoran gas dalam paip milik Petronas.
"Semua penduduk yang sudah lama mendiami Kampung Kuala Sungai Baru, Kampung Tengah dan Putra Heights pastinya tahu kawasan itu adalah laluan utama paip gas Petronas dan tidak akan sesekali melakukan pencerobohan kerana boleh merisikokan diri.
"Namun, jika kejadian ini berlaku akibat pencerobohan, ia mungkin perbuatan orang luar," katanya yang melecur hampir 35 peratus pada anggota badan akibat kejadian itu.
Mohd Khairul berkata, dia dan keluarga kehilangan 18 unit rumah termasuk 15 unit yang disewakan dalam lot 5, kedai makan, tiga bas, empat van, 12 kereta dan 13 motosikal serta stor barangan kanopi milik keluarga yang musnah dalam kejadian itu.
"Ini dugaan besar yang saya lalui selepas kehilangan semua harta yang diperoleh hasil kerja keras arwah ayah dan ahli keluarga, Allah SWT nak uji saya dan keluarga.
"Apa pun saya dan keluarga berharap pihak bertanggungjawab dan pihak berkuasa dapat melihat keadaan semua penduduk yang terjejas terutama penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan