Ukraine, AS tandatangani MoU berkaitan sumber mineral

Ukraine, AS tandatangani MoU berkaitan sumber mineral
April 18, 2025 @ 8:27am
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Scott Bessent. - Foto REUTERS

KYIV: Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) semalam dilapor menandatangani satu memorandum sebagai langkah awal ke arah mencapai perjanjian bagi membangunkan sumber mineral di Ukraine.

Perjanjian itu mendapat sokongan Presiden AS, Donald Trump, yang berkemungkinan bakal dimeterai pada minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri I, Yulia Svyrydenko, merangkap Menteri Ekonomi Ukraine, memaklumkan menerusi media sosial bahawa memorandum itu sudah ditandatangani.

"Kami berbesar hati mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan AS kami, yang membuka jalan ke arah Perjanjian Perkongsian Ekonomi dan penubuhan Tabung Pelaburan bagi Pemulihan Ukraine," katanya.
Pada minggu lalu juga, satu delegasi Ukraine berlepas ke Washington bagi menghadiri rundingan, selepas pentadbiran Trump menawarkan perjanjian baharu yang lebih menyeluruh.

Bercakap kepada wartawan di Rumah Putih, Trump mengesahkan pihaknya akan menandatangani perjanjian menyusuli MoU berkait mineral yang dimeterai semalam.

Trump berusaha menzahirkan satu perjanjian yang membolehkan AS memperoleh akses khas kepada sumber semulajadi dan mineral kritikal Ukraine, sebagai balasan bantuan ketenteraan yang disalurkan oleh Washington kepada Kyiv di bawah pentadbiran bekas Presiden AS, Joe Biden.

Ketika duduk bersama Trump di Pejabat Oval semalam, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata pihaknya masih meneliti butiran perjanjian dan pemeteraian itu mungkin akan berlangsung pada Jumaat depan.

"Ia sebahagian besarnya adalah apa yang telah kita persetujui sebelum ini. Ketika presiden berada di sini, kita ada memorandum persefahaman.

"Sekarang kita terus ke perjanjian besar. Saya rasa ia satu perjanjian setebal 80 muka surat dan itulah yang bakal kita tandatangani," jelasnya.

Sebelum ini, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, dilapor berkata kedua-dua negara mungkin menandatangani MoU itu secara dalam talian pada hari sama.

"Ini adalah memorandum iaitu satu dokumen yang menyatakan hasrat. Kita mempunyai niat yang positif dan membina," katanya.

Tambah Zelenskiy, tawaran untuk menandatangani memorandum sebelum perjanjian menyeluruh datang dari pihak AS dan ia memerlukan kelulusan di Parlimen Ukraine. - REUTERS

Ulasan