‘UmDAP Mantap’ jadi ‘warcry’ kempen PRK Ayer Kuning


‘UmDAP Mantap’ jadi ‘warcry’ kempen PRK Ayer Kuning
April 21, 2025

ARAU: Laungan ‘UmDAP Mantap’ yang kini dilaungkan bersama oleh jentera Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 DUN Ayer Kuning disifatkan sebagai tanda ketandusan modal politik oleh pihak terbabit.

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim mendedahkan bahawa istilah ‘UmDAP’ yang dahulunya menimbulkan kemarahan sesetengah pihak Umno, kini dijadikan laungan rasmi dalam kempen.

“Dulu bila saya guna istilah ‘UmDAP’ di Parlimen, orang Umno marah. Paling marah Ahli Parlimen Jelebu sampai minta saya tarik balik,” katanya.

Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menyifatkan tindakan itu sebagai hipokrasi politik menjurus kepada pengkhianatan terhadap asas perjuangan Umno sendiri.

“Sekarang mereka pula yang jadikan ‘UmDAP Mantap’ sebagai ‘warcry’. Allah, hangpa (kamu semua) tak dak modal lain ka? Sebenarnya bukan Umno-DAP. Kalau Umno-DAP maknanya Umno yang ketuai. Sekarang DAP yang ketua – boleh jadi ‘DAPUm’,” sindir beliau.

Beliau turut menyeru ahli dan penyokong Umno untuk kembali kepada perjuangan asal demi agama, bangsa dan tanah air.

“Umno sudah dipermainkan perjuangan mereka. Kembalilah kepada pangkal jalan memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

PRK DUN Ayer Kuning dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti utama, yang pastinya akan menguji sejauh mana penerimaan rakyat terhadap kerjasama politik dibentuk pasca-PRU15. – HARAKAHDAILY 21/4/2025

Ulasan