Umno perkakas DAP: Sidang DUN Kelantan kecoh


Umno perkakas DAP: Sidang DUN Kelantan kecoh
April 22, 2025

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kecoh apabila Wan Rohimi Wan Daud (PN-Melor) menyatakan Umno hanya ‘perkakas’ DAP biarpun sebelum ini lantang melawan parti itu.

Beliau berkata teguran itu ditujukan kepada Mohd Syahbuddin Hashim (Umno-Galas) yang merupakan pemimpin muda penuh dengan karisma dan menyertai Umno kerana memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Saya tegur ini kerana saya merindui pandang-pandangan Galas seorang pemimpin muda yang penuh dengan visi menyertai Umno kerana Umno adalah pejuang Melayu, laung hidup Melayu puluhan tahun.

“Tetapi sekarang menjadi perkakas kepada Durian Action Party (DAP) sebuah parti cauvinis,” katanya pada sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kelantan, di sini hari ini.

Ucapan itu mengundang rasa tidak puas hati Mohd Syahbuddin yang bangun sambil mengangkat buku Peraturan Dewan Perkara 46-13, menyatakan ahli dilarang menyindir ahli lain dengan niat serong.

Namun, Wan Rohimi tetap dengan pendiriannya walaupun diasak beberapa kali oleh Mohd Syahbuddin untuk menunjukkan bukti bahawa perjuangan Umno sudah lari dari perjuangan asal untuk orang Melayu.

Ketegangan antara kedua-dua pihak akhirnya diredakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohamed Farid Mohamed Zawawi (PAS-Kok Lanas).

Terdahulu Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat itu bangun menegur ucapan perbahasan yang disampaikan oleh Mohd Syahbuddin di bawah Peraturan Dewan Perkara 46.

Beliau berkata, soalan dalam ucapan perbahasan perlu diolah agar dilihat berbeza dengan senarai jawapan lisan yang dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri pada sebelah pagi persidangan.

“Saya lihat perkara 46 ini setiap ahli yang berbahas hendaklah menyatakan pandangan bukannya soalan, jadi bukan tidak boleh tanya soalan tetapi kita di sini ada kaedahnya dan semua orang pun tahu.

“Kalau soalan tidak naik nak buat macam mana, mungkin tidak cukup syarat, tidak cukup sifat, kalau dilontar begitu nayalah, dalam masa esok Exco dah nak gulung, pegawai kerajaan tidak sedia,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

Ulasan