
Umpama berada di medan perang
07 April 2025 08:00am
Masa membaca: 3 minit
SUBANG JAYA – “Saya seolah-olah berada di medan peperangan.” Begitulah gambaran suasana cemas insiden kebakaran dan letupan besar yang menggemparkan Taman Putera Harmoni, Putra Heights di sini pada Selasa lalu.
Penolong Penguasa Bomba, Muzdiean Haiza Muhamad berkata, letupan yang berlaku kira-kira jam 8.10 pagi itu bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah mengakibatkan suasana panik apabila rumah dan pokok-pokok di sekitar kawasan perumahan terbakar dalam sekelip mata.

Insiden kebakaran dan letupan besar di Putra Heights pada Selasa lalu. Gambar kecil: Muzdiean Haiza
Insiden berkenaan juga merupakan antara pengalaman paling mencabar bagi beliau sepanjang 14 tahun berkhidmat dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Sebaik tiba di lokasi kira-kira jam 8.40 pagi, kami disambut suasana sangat huru-hara. Api masih marak dan kelihatan mangsa dalam keadaan cedera serta kesakitan.
“Saya benar-benar tersentuh melihat keadaan itu, terasa seperti kami berada di medan perang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian.
Menurut Haiza, tumpuan utama pasukannya ketika itu adalah menyelamatkan seberapa ramai mangsa yang masih terperangkap sambil bergelut dengan suhu ekstrem.
“Emosi bercampur baur. Saya terbayang kalau itu keluarga saya sendiri. Jadi, saya pujuk mereka seperti memujuk ahli keluarga sendiri,” ujarnya.
Haiza berkata, sebelum itu pihak bomba sudah mengeluarkan arahan pemindahan segera kepada penduduk di zon merah, namun masih ada yang enggan berganjak kerana bimbang meninggalkan rumah dan barang berharga.
“Kami terpaksa memujuk dengan pendekatan lembut, berulang kali memberi jaminan bahawa nyawa lebih penting daripada segala-galanya.
“Kalau tak keluar segera, risiko kehilangan nyawa sangat tinggi. Kawasan itu sangat panas dan berbahaya. Kami juga di ambang kematian,” katanya.
Mengulas tentang kecederaan mangsa, Haiza memaklumkan, selain seorang wanita melecur di kaki hingga kulitnya melekat di lantai, ada lagi individu dilaporkan cedera.
“Terdapat lagi mangsa lain mengalami kecederaan serius termasuk melecur dari paras pinggang ke bawah dan seorang lagi penghidap sakit jantung,” jelasnya.
Menceritakan detik getir ketika menyusuri kawasan terbakar, Haiza berkata, semangat dan keberanian pasukannya didorong rasa tanggungjawab serta nilai kemanusiaan yang tinggi.
“Semua orang berlari keluar, tapi siapa yang akan selamatkan mereka yang masih terperangkap? Sebab itu kami tak fikir panjang, kami masuk demi tugas dan kerana kita manusia.
“Saya bersama pegawai dan anggota lain berjaya menyelamatkan lebih 40 mangsa dari Taman Putera Harmoni. Itu pun kami buat ikut prosedur bomba, satu persatu dikeluarkan dalam suhu yang terlalu panas, telefon bimbit pun jadi disable sebab suhu terlalu tinggi,” jelasnya.
Haiza menyifatkan operasi berkenaan sebagai antara kenangan paling bermakna dalam kerjayanya sebagai anggota bomba.
Ulasan
Catat Ulasan