

Berita
Undian semula PKR tiada kaitan keputusan 'badan tanpa kepala' - sumber
Diterbitkan: Apr 25, 2025 8:00 AMSumber dalaman PKR memaklumkan bahawa pengundian semula yang diadakan di tiga cabang iaitu Selayang, Jempol dan Silam tiada kaitan dengan keputusan ‘pelik’ atau yang disifatkan sebagai ‘badan tanpa kepala’.
Menurut sumber, pengundian semula itu diadakan kerana pertindihan keanggotaan serta rekod jenayah melibatkan calon yang bertanding.
“Undian semula di tiga cabang itu diadakan atas alasan lain.
"Di Jempol, calon yang menang jawatan ketua cabang ( Azizah Salim Shah) juga didapati anggota dalam parti Pejuang.
"Sementara undian semula di Selayang dan Silam diadakan kerana faktor calon mempunyai rekod jenayah," kata sumber itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR sebelum ini berkata pengundian semula hanya akan melibatkan “keputusan kecil” beberapa cabang.
Pemilihan PKR peringkat cabang bermula pada 11 April dan berakhir 20 April lalu. Namun, proses itu dilanda pelbagai dakwaan penyelewengan, termasuk 'keanehan' yang menyaksikan kumpulan tertentu menyapu bersih jawatankuasa cabang tetapi calon ketua cabang mereka tewas.
Trend itu berlaku di banyak tempat dan digelar sesetengah pihak sebagai fenomena "badan tanpa kepala" – pasukan menang, tetapi calon ketuanya kalah.
Antara contoh paling ketara termasuk Gan Ay Ling di Kangar, Muhammad Bakhtiar Wan Chik di Balik Pulau, Mohd Kamri Kamaruddin di Ampang, Chua Wei Kiat di Selayang, Rodziah Ismail di Shah Alam, dan Ginie Lim di Alor Gajah.
Susulan itu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengadakan mesyuarat Rabu lalu, dipercayai bagi membincangkan isu berbangkit mengenai pengundian berkenaan.
Ulasan
Catat Ulasan