‘Usahkan ikan, teritip pun tiada yang hidup’



‘Usahkan ikan, teritip pun tiada yang hidup’
ANAK sungai tercemar mengalir sehingga ke laut melalui Pangkalan Nelayan Sungai Udang.
Oleh MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan MAISARAH SHEIKH RAHIM
12 April 2025, 6:50 am


KLANG: “Usahkan ikan, teritip pun tiada lagi yang hidup.” Demikian kata Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abd. Rahman mengenai tahap pencemaran teruk air sungai Teluk Gong ketika ini.

Menurut Omar, tahap toksik anak Sungai Teluk Gong didapati terlalu tinggi apabila tiada teritip hidup atau melekat pada tiang-tiang jeti ataupun bot-bot nelayan yang diletakkan di empat pangkalan nelayan di sana.

Katanya, sekiranya kawasan tersebut tidak tercemar, jeti-jeti yang terletak di sungai yang dimasuki air laut sepatutnya memang ada teritip.

“Kalau kawasan laut atau sungai yang dimasuki air masin, teritip mesti melekat pada tiang jeti, mana-mana kayu atau bot. Kalau tiada teritip bererti sungai atau air di situ tercemar teruk dan mempunyai bahan kimia berbahaya.

“Malah, ia juga akan menyebabkan anak ikan mati, benih ikan pun tak boleh hidup. Mungkin berlaku pembuangan bahan toksik ke sungai. Itu sangat berbahaya dan boleh juga memberi kesan kepada manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, beliau akan membangkitkan perkara itu da­lam Mesyuarat Khas Pengerusi-Pengerusi Nelayan Selangor pada 15 April (Selasa) ini dan tidak akan teragak-agak untuk menganjurkan perhimpunan sebagai tanda protes kepada mana-mana pihak termasuk kilang yang mencetuskan pen­cemaran sungai.

Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, Sungai Teluk Gong yang terletak di Pelabuhan Klang boleh diibaratkan sudah mati ekoran pencemaran yang serius hingga kualiti airnya tidak sesuai untuk sebarang kehidupan.

Keadaan itu boleh mengancam kesihatan lebih 40,000 penduduk sekitarnya, selain memudaratkan ekosistem dan alam sekitar.

Hasil ujian kualiti air yang diambil dari empat kawasan di sepanjang 20 kilometer (km) anak sungai tersebut oleh sebuah makmal bebas bertauliah di negeri ini mendapati kan­dungan amonia dalam airnya sangat tinggi.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan memberitahu, tiada perubahan kualiti air dalam tempoh enam bulan, malah tidak keterlaluan jika keadaannya semakin teruk terutama ketika air laut surut.

Menurutnya, sisa-sisa yang hanyut seperti plastik-plastik kecil di pangkalan nelayan menyebabkan kerosakan apabila saluran air pada bahagian dalam enjin bot tersumbat.

“Air makin teruk, berwarna hitam mengalir keluar melalui jeti-jeti nelayan di sini. Ada empat pangkalan, kesemuanya mengalami nasib sama. Nelayan tiada pilihan lain untuk berpangkalan di jeti-jeti berke­naan.

“Keadaan air yang tercemar itu bukan sahaja mencetuskan bau busuk dan merosakkan enjin bot, malah ia juga menyebabkan rangsangan seperti gatal-gatal jika terkena pada kulit. Dahulu kita boleh gunakan air untuk cuci peralatan tangkap ikan, sekarang tak boleh, memang bahaya,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk mendakwa tidak mungkin ada ikan atau hidupan lain mampu bertahan dengan keadaan air yang tercemar begitu teruk.

“Dahulu anak sungai di sekeliling banyak ikan tilapia, sembilang, udang yang kerap ditangkap penduduk untuk dimakan. Sekarang teritip pun tak lagi melekat dekat tiang jeti, jangan kata ikan, biawak pun mati,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Pelabuhan Klang, Rahman Kachil mendakwa, beliau percaya pencemaran tersebut tercetus sejak kewujudan kilang-kilang termasuk yang haram di Teluk Gong.

“Pernah ada nelayan atau ahli keluarga mereka yang mengalami gangguan kesihatan seperti pening kepala, demam dan gatal-gatal pada kulit dipercayai akibat terkena air yang tercemar atau terhidu bau busuk di sana.

“Sekitar awal tahun ini, pernah ada masalah ikan mati yang diberitahu oleh nelayan-nelayan di kawasan berkenaan. Dahulu, pencemaran di situ juga pernah merebak sampai ke Kampung Pendamar di Jalan Pandamaran sehingga dilaporkan di akhbar-akhbar,” ujarnya.

Tinjauan semula Utusan Malaysia ke kawasan tersebut selepas lebih enam bulan pendedahannya pada September tahun lalu mendapati keada­an di sana masih sama dengan kualiti air yang tercemar teruk dialirkan terus ke laut.

Situasi sedemikian dilihat di empat lokasi sama dalam tinjauan sebelum ini seperti dekat jambatan di Jalan Teluk Gong, Jalan Pusara Indah, Pangkalan Nelayan Sungai Udang dan Pangkalan Nelayan Jalan Perajurit.

Di Pangkalan Nelayan Sungai Udang dan Jalan Perajurit merupakan laluan terus saliran anak sungai ke laut yang menjadi tempat nelayan terdiri daripada penduduk tempatan berlabuh atau menurunkan hasil tangkapan mereka.

Tinjauan di lokasi berkenaan, air berwarna hitam, kelihatan berminyak dan berbau busuk yang turut mengandungi sisa plastik mengalir keluar dari Teluk Gong menghala ke kuala dan seterusnya ke Selat Melaka. – UTUSAN

Ulasan