
Ustaz Muhaimin calon PN PRK N.48 DUN Ayer Kuning
April 8, 2025
TAPAH: Perikatan Nasional (PN) menampilkan anak jati Ayer Kuning, Ustaz Abd Muhaimin Malek, 43, sebagai calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Majlis pengisytiharan calon itu telah berlangsung dengan dihadiri pemimpin kanan PN dari PAS, Bersatu dan Gerakan di Dataran Awam Tapah Road di Tapah, di sini sebentar tadi.
Pengetua Maahad Tahfiz ADDIN Air Kuning sejak tahun 2015 itu berpengalaman luas dalam dunia pendidikan, dakwah dan pembangunan insan dan beliau juga merupakan penggubal silibus kurikulum Yayasan ADDIN serta guru tauliah dan takmir Negeri Perak.
Pernah menuntut ilmu di Syria dan kemudiannya di Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah (UniSHAMS), Kedah, beliau telah mengabdikan hidupnya dalam menyemai ilmu dan nilai Islam di sekolah, masjid dan pelbagai lapangan masyarakat.
Selain daripada menjadi motivator dan pensyarah jemputan, beliau juga aktif dalam pembangunan masyarakat sebagai Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Insan Bidor dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Air Kuning.
Dalam dunia politik, beliau bukan orang baru di mana pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Pemuda PAS Kawasan Tapah dan kini merupakan Yang Dipertua PAS Tapah serta Pengerusi Perikatan Nasional Parlimen Tapah sejak tahun 2023.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning adalah pada 26 April ini dengan penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025 yang dikemas kini hingga 22 Februari lalu.
Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 31,897 pemilih terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan.
PRK DUN Ayer Kuning adalah PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor) serta PRK DUN Pelangai (Pahang).
Diikuti PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan DUN Mahkota (Johor).
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Allahyarham Ishsam Shahrudddin, 59, susulan serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15, Ishsam mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan 2,213 majoriti undi iaitu dengan 9,088 bilangan undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon PH (6,875), PN (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586). – HARAKAHDAILY 8/4/2025



Ulasan
Catat Ulasan