Ustaz vs ustaz, parti mana rakyat akan pilih?



Ustaz vs ustaz, parti mana rakyat akan pilih?
Oleh Aznan Bakar
13 April 2025, 6:40 am

WALAUPUN Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Perak, tetapi tumpuan sudah tentu tertumpu kepada dua orang ustaz yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Bawani K.S. akan mewakili PSM sebagai alternatif kepada 31,897 pengundi di kawasan itu sekiranya mereka mahukan sesuatu yang di luar daripada kebiasaan.

Tetapi sudah tentu fokus kepada Dr. Mohamad Yusri Bakir, ustaz yang mewakilli BN dan Abd. Muhaimin Malek, ustaz dari Pas yang dipertaruhkan oleh PN.

Atas kertas dan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), BN kelihatan tidak ada masalah untuk mengekalkan DUN berkenaan.

Pada PRU15 mereka bertanding menentang PN dan PH. Kali ini pula BN bersama dengan PH untuk berhadapan dengan PN, ramai yang menjangka penyandang tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi itu.

Cuma kali ini kedua-dua gergasi politik tanah air itu mempertaruhkan calon yang bergelar ustaz dalam usaha untuk meraihkan sokongan.


Seolah-olah sudah menjadi aliran terkini sekarang apabila BN turut meletakkan calon yang ada latar belakang agama di kawasan yang majoriti pengundi Melayu/Islam.

Tetapi adakah ini boleh menjamin kemenangan mereka? Adakah PN melalui Pas yang selamanya membawa imej Islam boleh memecah monopoli BN/PH di kawasan itu? Mampukah mereka mempertahankan majoriti 2,213 undi yang diperoleh pada 2022?

Persoalan sekarang apa kriteria yang bakal dilihat oleh pe­ngundi untuk memilih wakil rakyat mereka? Dari segi latar belakang, kedua-duanya seimbang dan tidak ada apa yang kurang.

Pokoknya sekarang, parti mana yang rakyat akan pilih? Adakah mereka akan memilih untuk mengekalkan status quo, atau mengundi untuk melakukan perubahan? Bagaimana pula dengan penerimaan mereka terhadap calon PSM?

Potensi Bawani untuk mencari tumpuan 25 peratus pengundi India dan 15 peratus China tidak boleh dipandang enteng.

Keseluruhan 40 peratus pengundi bukan Melayu dicampur dengan lima peratus lagi undi Orang Asli bakal menjadi penentu parti mana yang akan menang.

Seperti kata Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani, berimej dan berlatar belakang pendidikan agama bukan tiket dan jaminan untuk menang.

Dalam keadaan sekarang rakyat akan melihat perkara yang memberi impak kepada kehidupan seharian mereka. Lagi pula keputusan PRK ini tidak akan mengubah apa-apa komposisi dalam kerajaan, jadi, kemungkinan pengundi akan melakukan eksperimen tidak boleh dipandang sepi.

Seperti kata Dr. Mohd. Azizuddin, pengundi masa kini lebih memilih individu yang dirasakan mampu memberikan khidmat terbaik sebagai wakil rakyat.

Ada yang mengatakan, 55 peratus pengundi Melayu itu sudahpun membuat keputusan siapa yang mereka pilih, iaitu mungkin sama banyak antara BN dan PN.

Jika itu situasinya maka sudah tentu undi daripada baki 45 peratus lagi pengundi India, China dan Orang Asli yang akan menjadi penentu.

Ada yang berpandangan PRK Ayer Kuning nampak mudah untuk BN, tetapi realiti sebenar jauh lebih rumit dari kiraan atas kertas.

Akhirnya rakyat yang akan pilih parti mana yang akan mewakili mereka.



Aznan Bakar ialah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia – MINGGUAN




Ulasan