

Berita
Zaid seloroh: Cukup 'hukum mati' penyiasat, pendakwa lindungi rasuah
Dikemaskini: 8:41 PMBekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim tampil menyindir saranan seorang Adun Sabah supaya Malaysia mengambil pendekatan lebih keras terhadap isu rasuah dengan mencontohi negara China, yang menembak mati mereka yang didapati bersalah.
Zaid memberi amaran dasar sedemikian “bukan sekadar membuang lemak — ia mungkin menyapu bersih seluruh hidangan.”
Zaid mendakwa jika undang-undang sebegitu dilaksanakan, dia menganggarkan sekurang-kurangnya 80 peratus ahli politik Malaysia akan terhapus, meninggalkan dewan undangan negeri — termasuk di Kota Kinabalu — dan parlimen di Kuala Lumpur ibarat bangunan terbengkalai.
“Sebaliknya pula, dalam 'perlumbaan ahli politik tamak memburu emas ini' orang yang berprinsip — ahli politik yang tidak menjadikan politik sebagai skim cepat kaya — akhirnya mungkin mempunyai kelebihan,” katanya kepada Malaysiakini.

Zaid menjelaskan dia tidak menyokong hukuman mati, tetapi berhujah jika ia ingin dipertimbangkan, penyelesaian 'paling berkesan' sepatutnya dimulakan dengan menghukum mereka yang enggan menyiasat atau mendakwa kes rasuah, terutama melibatkan golongan berkuasa.
“Undang-undang sedia ada sudah cukup untuk mengekang dan mencegah rasuah,” katanya.
“Namun pelaksanaannya sentiasa menjadi masalah. Selama beberapa dekad, kita menyaksikan agensi penguat kuasa digunakan sebagai senjata terhadap musuh politik dan perisai bagi yang berkuasa.
“Hukum mati beberapa orang dalam kalangan mereka dan semua orang termasuk ahli politik akan berkelakuan baik,” tambahnya.

Dalam nada berseloroh, Zaid berkata undang-undang seperti itu tidak mungkin diluluskan kerana ia ibarat meminta ahli politik menandatangani waran hukuman mati terhadap diri mereka sendiri.
“Sekurang-kurangnya, ia menjadi topik menarik untuk dibualkan semasa minum teh tarik,” katanya.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan wakil rakyat Warisan, Adun Bugaya Jamil Hamzah (gambar atas) mencadangkan hukuman tembak mati dalam perbahasan di DUN Sabah.
Cadangan itu muncul di tengah-tengah skandal rasuah melibatkan pentadbiran negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sejak November lalu, seorang ahli perniagaan mendedahkan beberapa siri video dan tangkap layar perbualan WhatsApp yang mengaitkan lapan Adun GRS dan juga speaker DUN Sabah, Kadzim Yahya.
Ahli perniagaan tersebut mendakwa dia membayar rasuah kepada ahli politik terbabit sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Ketua Menteri Hajiji Noor pula menuduh individu itu bersekongkol dengan pihak tertentu untuk menjatuhkan pentadbirannya menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Ahli perniagaan berkenaan juga dituduh menjadi sebahagian daripada kartel yang cuba memonopoli aktiviti perlombongan di Sabah.
Ulasan
Catat Ulasan