
Zaliha sahkan pemilihan Selayang, Jempol, Silam diadakan semula
24 April 2025 07:13pm
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan pemilihan semula akan diadakan melibatkan cabang Selayang, Jempol dan Silam.
Pengerusi JPP PKR, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya akan menghantar notis dalaman kepada tiga cabang terlibat nanti.
“Ya, hanya di beberapa peringkat. Itu nanti saya akan berikan notis. Notis dalaman kepada cabang-cabang itu,” katanya kepada pemberita selepas program Semarak Aidilfitri Wilayah Persekutuan di Putrajaya, pada Khamis.
Beliau berkata sedemikian mengulas spekulasi akan berlaku pemilihan semula di beberapa cabang terlibat atas pelbagai alasan dikemukakan kebanyakan calon kalah baru-baru ini.
Zaliha turut mengesahkan JPP PKR ada menerima beberapa aduan berhubung keputusan pemilihan cabang parti tertentu, namun ia belum dimuktamadkan.
“Belum ada keputusan muktamad. Keputusan JPP belum muktamadkan untuk kita menyenaraikan kemenangan pada mereka bertanding,” ujarnya lagi.
Antara nama besar yang kalah pada pemilihan tersebut, termasuklah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Dalam perkembangan sama, Zaliha memaklumkan, jumlah aduan dan rayuan diterima JPP untuk pemilihan kali ini juga jauh lebih rendah berbanding yang lepas.
Mengulas tentang pemilihan didakwa tidak tepat dan wujud keputusan pelik, Zaliha mempertahankan sistem ‘blockchain’ yang digunakan dalam pemilihan adalah kalis penipuan, sekali gus ia jauh lebih baik daripada pemilihan lalu.
Ulasan
Catat Ulasan