30 bulan sahaja lagi...


30 bulan sahaja lagi...
Mei 19, 2025 @ 8:50am

LIMA hari sahaja lagi sebelum PKR menerima individu mengisi kerusi nombor dua parti.

Siapa Timbalan Presiden? Adakah masih penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli? Atau orang baharu, Nurul Izzah Anwar.

PKR memerlukan timbalan yang boleh bantu bosnya, presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kurang 30 bulan sahaja lagi dari sekarang.

Sejarah dan fakta membuktikan. Sejak Langkah Sheraton 24 Februari 2020 meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibina baru dua tahun, membawa 11 Ahli Parlimen PKR keluar, parti itu seakan hilang punca.
Nurul Izzah Anwar (kanan) dan Datuk Seri Rafizi Ramli. - Foto BH

Kekalahan teruk dialami PKR dalam empat pilihan raya negeri bermula Sabah tujuh bulan kemudian dan terakhir 12 Mac 2022 di Johor, mengusutkan lagi PKR.

Walaupun pemilihan PKR diselesaikan selepas kekalahan di Johor yang mengangkat timbalan presiden baharu, dicanangkan telah memberi nafas baharu dalam meremaja (rejuvenate) dan mengembalikan semangat perjuangan PKR, semuanya bagaimanapun serba tidak menjadi.

Waktu itu pengisi kerusi nombor dua parti dikatakan adalah 'suatu cerminan keinginan hasrat' akar umbi PKR untuk melihat satu barisan kepemimpinan benar-benar padu serta membawa semangat baharu. Tetapi fakta juga membuktikannya.

Luar kotak, 'big' data

Semasa itu 'strategi politik luar kotaknya' yang dikatakan memiliki big data sehingga Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan pada 9 Mei 2018, begitu didambakan. Apatah lagi kemunculannya dikatakan dinantikan, dengan membuat comeback selepas berehat selama dua tahun, diharap menjadi kelebihan bukan sahaja kepada PKR, bahkan PH.

Namun apa diharapkan tidak menjadi kenyataan. Pada PRU15 20 November itu, PH meskipun mengekalkan undi bukan Melayunya, tetapi kehilangan undi Melayu.

PKR pula hanya meraih 31 daripada 102 kerusi. Bahkan, dalam PH yang memenangi 82 kerusi, DAP menjadi blok terbesar dengan 40 kerusi. PKR yang mengatasi DAP meraih 49 kerusi berbanding 42 semasa PRU14, di kedudukan nombor dua pula. Dan parti pemenang terbesar pula adalah PAS. PAS muncul blok terbesar dalam Dewan Rakyat dengan 49 kerusi di sisi tonggaknya, BERSATU (28).

Hakikatnya, tiada siapa hari ini boleh menjangka keajaiban yang akan diraih parti tertentu dalam pilihan raya akan datang. Panggillah Nujum Pak Belalang sekalipun andai kata watak itu wujud dalam alam maya ini. Jawapannya tetap tidak boleh diramal gabungan parti mana boleh menang selesa - melepasi majoriti mudah 112 kerusi, apa lagi dua pertiga 148 kerusi.

Ya, politik hari ini sungguh dinamik. Sebab itu meskipun anda menang dalam pemilihan parti pun, belum tentu anda boleh membawa parti menuju kejayaan pilihan raya. Ini realiti. Perlu berpijak di bumi nyata.

Dalam perut ada harimau

Seorang pemimpin politik bergelar ketua, presiden atau nakhoda, apa agaknya diperlukan untuk survival diri dan parti politiknya? Perlukah orang kanannya seorang Machiavelli?

Ikut persepsi klasik Itali ini, orang kanan dan anak buah tidak boleh kelihatan terlalu pandai sehingga ketua mereka yang dirinya berkhidmat dilihat kurang bijak. Hanya kerana untuk bertahan lama dalam politik, dia terpaksa selitkan sedikit Machiavelli. Demi mengekal jawatan dan kuasa, memaksa diri menjadi pembodek dan pencacai ketua. Kesan jangka panjang merana parti, boleh terlungkup.

Dan akhirnya seorang ketua itu memperoleh orang kanannya yang beraksi seperti 'dalam perut ada harimau, dia keluarkan sahaja bunyi kambing'. Mahu berkilat berkilau dalam politik, habis diampunya. Adakah itu kemahuan seorang ketua?

Akhirnya, parti kalah teruk pilihan raya. Grassroots atau akar umbinya entah ada entah tidak. Lenyap tak tahu ke mana. Tikam belakang pula beri undi kepada parti lawan. Kalau masih mahu juga kekalkan cabang atau ranting beroperasi, harus difikirkan rombakan paling radikal.

Bukankah semua parti sudah dapat iktibar daripada penangan 1.4 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun dalam PRU15 tempoh hari? Bukan itu sahaja, tidak terjangkau impaknya daripada 4.6 juta pengundi lingkungan 21-29 tahun.

Ambil sahaja kata-kata hikmat Soekarno ini: "Beri aku 10 pemuda, niscaya akan kuguncangkan dunia". Pergi sahaja pada kualiti, bukan kuantiti.

Ayam sabung

Sudah tentu isu utama dihadapi PKR atau PH memasuki gelanggang PRU16 nanti adalah bagaimana untuk menangani persepsi. Namun tampaknya sejak membentuk Kerajaan Perpaduan, ia tidak seagresif seperti sebelum menjadi kerajaan.

Ayam sabung yang acap kali muncul dengan hujah menarik bermottokan 'lawan tetap lawan' sebelum PRU 2018 pun kini senyap sunyi kerana ramai sudah jadi menteri. Ketajaman mereka dalam melenyapkan tohmahan daripada musuh politik tiba-tiba tumpul. Bukan hilang sekejap, tetapi hilang terus.

Malah, lebih sedih lagi dalam pemilihan parti kali ini, ada pula sanggup 'tembak kaki sendiri'. Hentam dan kritik secara halus parti sendiri, padahal orang kanan dan anak buah parti lawan tidak sedemikian aksinya kepada ketua mereka.

Beringatlah populariti diri diraih selama ini bukanlah kerana anda wakil rakyat bebas atau seseorang yang 'tiba-tiba jadi terkenal'.

Namun, kerana anda dikenali atas platform parti dianggotai seperti menyandang jawatan ketua penerangan, ahli MPP, Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen.

Bila mana terlalu gelojoh atau ikut perasaan tanpa kecerdasan emosi (EQ) dan rohani (SQ) dalam diri misalnya dalam kempen pemilihan parti, bukan sahaja presiden, bahkan habis rakan-rakan lain terkena tempias, lumpurnya. Mengata rakan dalam parti sendiri, akibatnya impak cercaan terkena presiden yang akan mengetuai parti mendepani PRU.

Waima apa pun taktikalnya pemain politik, mereka akan menang sentiasa jika mendahulukan keutamaan ini - jujur dan tidak menyembunyikan kebenaran.

Jangan jadi 'pelantun' semata-mata - bermain-main di permukaan, bercakap, berbisik-bisik dari luar, sedangkan kemungkaran di depan mata, kebinasaan berlaku.

Siapa timbalan presiden PKR? Rafizi atau Nurul Izzah pilihan perwakilan.

Ulasan