

Berita
Adun Bersatu: Tindakan Rafizi bercuti panjang tak bertanggungjawab
Diterbitkan: May 4, 2025 12:53 PM
Dikemaskini: 1:37 PM
Seorang lagi pemimpin Bersatu tampil menyelar tindakan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengambil cuti.
Adun Taman Medan, Afif Baharuddin menyifatkan keputusan berkenaan yang dibuat ketika rakyat dihimpit kos sara hidup yang tinggi sebagai tidak bertanggungjawab.
"Ketika rakyat terus dihimpit kos sara hidup yang meningkat, pelabur asing makin ragu-ragu dengan dasar ekonomi negara, dan ekonomi global semakin mencabar, tindakan Rafizi Ramli mengambil cuti panjang sehingga hujung Mei adalah tidak bertanggungjawab dan sangat mengecewakan.
"Sebagai Menteri Ekonomi, beliau sepatutnya tampil ke hadapan memimpin usaha pemulihan ekonomi, bukan menyepi tanpa penjelasan yang munasabah kepada rakyat.
"Lebih memalukan, hanya perdana menteri yang tampil mempertahankan cuti tersebut – seolah-olah portfolio sepenting ini boleh ditinggalkan sesuka hati,” katanya dalam kenyataan.
Afif berkata, tindakan itu memberikan mesej yang salah kepada pelabur antarabangsa.
"Apakah mesej yang cuba disampaikan kepada rakyat dan pelabur antarabangsa? Bahawa kepimpinan ekonomi negara boleh diremehkan?
"Bahawa kegagalan dalam pemilihan parti lebih penting daripada kesejahteraan ekonomi negara?
"Kami tegaskan – negara memerlukan Menteri Ekonomi yang stabil, efektif dan komited sepenuhnya kepada tanggungjawab. Bukan menteri yang menghilang waktu krisis.
"Jika Datuk Seri Rafizi tidak mampu lagi menunaikan amanah ini, beliau wajar meletakkan jawatan dengan segera," katanya.

‘Ada pun macam tak ada’
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman pula menyifatkan tindakan Rafizi bercuti sebagai tidak munasabah ketika situasi ekonomi yang amat kritikal berikutan pengumuman tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Agak tidak munasabah dalam tempoh ini dalam Kabinet tidak ada Menteri Ekonomi yang boleh menasihati, memberikan pengesyoran kepada Kabinet, memandu Jemaah Menteri dalam aspek ekonomi luar dan juga dalam negara," ujarnya seperti dilapor Harakahdaily,
Syahir berkata rakyat kini berdepan isu kenaikan kos sara hidup dan bakal menghadapi pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka bermula Julai tahun ini.
Menurutnya sehingga kini butiran untuk pelaksanaan subsidi bersasar yang telah dinyatakan Perdana Menteri pada Belanjawan 2025 tahun lalu masih samar.
“Ini amat mengecewakanlah dan amat janggal apabila tempoh sebegini Menteri Ekonomi mengambil cuti yang panjang. Cuma seingat sayalah, kita sebagai rakyat ni kira YB Rafizi telah lama menyepi dan menghilang. Ada pun seperti tidak ada," katanya.
Rafizi, yang juga timbalan presiden PKR, dilaporkan ketika ini mengambil cuti sehingga 31 Mei. Sebelum ini seorang menteri kabinet, yang enggan namanya didedahkan mengesahkan perkara itu tengah-tengah spekulasi Rafizi mungkin meletakkan jawatan dalam kerajaan.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata cuti Rafizi tidak menjadi masalah malah secara berseloroh mengatakan dia juga sedang mencari masa yang sesuai untuk bercuti.
Ketika ditanya sama ada cuti Rafizi dikaitkan dengan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan PKR, Anwar menafikannya.
Pada hari yang sama, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid menggesa cuti Rafizi dibatalkan, dengan alasan negara memerlukan semua menterinya bekerja dalam tempoh ini.
Sementara itu, ketua jawatankuasa pemilihan PKR Dr Zaliha Mustafa semalam menafikan dakwaan bahawa penangguhan pencalonan bagi jawatan kepimpinan parti – yang mulanya dijadualkan hujung minggu ini – mempunyai kaitan dengan cuti Rafizi.
Pencalonan kini ditetapkan pada 8 dan 9 Mei. Rafizi dijangka mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PKR.
Ulasan
Catat Ulasan