
AS rakan dagang, tapi mesti dikritik isu konflik global
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia diingatkan supaya tidak mengorbankan prinsip hak asasi manusia dan keadilan sejagat dalam sebarang rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menyentuh pendekatan kerajaan dalam memastikan hubungan perdagangan dengan AS kekal adil, tanpa mengetepikan dasar luar negara dan pendirian terhadap isu kemanusiaan.
“Bagaimana Menteri melihat strategi perundingan kita dengan AS itu untuk kita lebih dilihat adil oleh AS sebagai rakan dagangan itu termasuk juga kita mengekalkan prinsip dalam soal hak kemanusiaan dan keadilan sejagat?
“Yang hari ini kita melihat AS itu antara punca kepada konflik yang berlaku di Asia Barat dan sebagainya,” ujarnya ketika mencelah penggulungan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pada Sidang Khas Dewan Rakyat berkait tarif timbal balas AS, di sini hari ini.
Katanya kepada Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, AS tidak boleh dilihat sebagai rakan dagang yang ‘kebal’ daripada kritikan, memandangkan penglibatannya dalam pelbagai konflik di Asia Barat.
“Jadi bagaimana kita juga meletakkan prinsip dan juga dasar luar negara kita yang kita mengatakan AS sebahagian daripada negara yang perlu perbetulkan kembali penglibatan mereka dalam perang Asia Barat dan sebagainya.
“Itu sangat penting sebab prinsip itu tidak kita lepaskan ketika dalam perundingan ini,” katanya.
Menjawab persoalan itu, Zafrul berkata, kerajaan tetap mempertahankan prinsip asas negara dalam perbincangan bersama AS, termasuk isu-isu berkaitan hak bumiputera dan dasar kerajaan yang tidak boleh dikompromi.
“Prinsip itu kita tidak lepaskan. Begitu juga dengan isu-isu bukan tarif seperti dokumen kerajaan dan hak-hak bumiputera.
“Mereka tidak ada isu mengenai kalau kita teruskan perbincangan dan kita terang-terang maklumkan kepada mereka manakah isu yang kita tidak boleh pertimbangkanlah dalam isu non tarif,” katanya.
Namun begitu katanya, terdapat juga isu-isu yang memerlukan pertimbangan lanjut seperti pensijilan halal dan sektor pertanian, yang turut menjadi perhatian pihak AS dalam usaha mereka mengeksport produk ke Malaysia.
“Isu-isu ini kita perlu mempunyai minda yang terbuka untuk memberi pencerahan kepada mereka. Kenapa kita tidak boleh buat ataupun kenapa kita boleh beri pertimbangan,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan