‘Bukan gugat negeri, tapi selamatkan rakyat dari kegagalan Umno’


‘Bukan gugat negeri, tapi selamatkan rakyat dari kegagalan Umno’
May 11, 2025

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu menempelak kenyataan dangkal Umno Pahang yang menuduh kerjasama Pemuda PAS Terengganu-Pahang sebagai usaha menggugat kestabilan negeri.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa berkata, tuduhan itu bukan sahaja meleset, malah mencerminkan keresahan Umno yang semakin nyawa-nyawa ikan.

“Kami bukan menggugat kestabilan negeri, tapi menganggu-gugat kestabilan Umno dan DAP (UmDAP) Pahang. Ini perkara yang dibenarkan undang-undang dan sistem demokrasi.

“Kalau gerakan yang sah di sisi undang-undang pun kamu takut, itu tandanya kamu sedar pengaruh kamu makin pupus dan sudah hilang arah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pemuda PAS hadir di Pahang bukan untuk mencetus kekacauan, tetapi membawa harapan baharu kepada rakyat menerusi agenda ‘PAS Teraju Pahang’.

“Kami tidak hadir untuk membuat huru-hara. Kami hadir untuk memberi harapan ‘PAS Teraju Pahang’ dan kalau UmDAP Pahang anggap harapan itu satu ancaman, maka kamu sebenarnya musuh kepada masa depan rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Pemuda PAS Pahang dan Terengganu memeterai kerjasama strategik sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kerjasama itu memberi tumpuan kepada tiga fokus utama iaitu pelaksanaan program bersama, latihan kepimpinan dan kempen kesedaran masyarakat, khususnya dalam kalangan belia.

Mengulas lanjut, Harun mencabar Umno dan sekutunya agar bersaing secara sihat dengan menampilkan dasar dan kerja buat, bukannya dengan serangan retorik.

“Buat UmDAP Pahang, jika masih ada maruah politik, lawanlah dengan hujah dan kerja, bukan dengan tuduhan liar yang lahir dari ketakutan kamu sendiri.

“Kami bersedia. Soalnya, apakah kamu bersedia untuk ditolak rakyat?” Soalnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2025

Ulasan