

Berita
'Bukan Umno, tapi MCA yang patut bubar parti dan sertai DAP'
Diterbitkan: May 4, 2025 10:21 AM
Dikemaskini: 10:21 AM
Bukan Umno yang patut dibubarkan, sebaliknya MCA yang harus menyerahkan dua kerusinya kepada Umno dan menyertai DAP, kata Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin.
Ahli parlimen DAP itu berkata, cadangan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin agar Umno dibubarkan dan diserap ke dalam Bersatu sebenarnya lebih sesuai ditujukan kepada MCA.
"Hari ini, MCA hanya tinggal dua kerusi Parlimen dan kedua-duanya terletak di kawasan majoriti pengundi Melayu. Hakikatnya, MCA hanya menang kerana undi daripada penyokong Umno.
"MCA sudah tidak lagi mewakili masyarakat Cina. Jadi saya menyeru MCA supaya serahkan kembali dua kerusi tersebut kepada Umno dan ambil langkah berani untuk bubar parti serta menyertai DAP, demi masa depan negara dan perjuangan nilai kemajmukan, keadilan dan kemajuan,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Muhyiddin semalam dibuat sebagai respons terhadap cadangan Kelab Veteran Umno supaya pemimpin Bersatu membubarkan parti mereka dan menyertai Umno.
Hal itu timbul selepas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin menyatakan kesediaan parti itu untuk bekerjasama dengan Umno memandangkan kedua-duanya berkongsi ideologi yang sama.

Namun, Chong mengalihkan perhatian kepada MCA, dengan mendakwa parti itu sudah tidak relevan dan gagal bersuara dalam kerajaan.
"Mereka gagal memainkan peranan semak dan imbang dalam kerajaan dan lebih kerap berdiam diri apabila berdepan dengan kenyataan ekstrem.
"Kini mereka menuduh DAP sebagai kabur pendirian, walhal itu hanya helah untuk menutup kelemahan sendiri yang semakin terpinggir," katanya.
‘MCA bergantung pada undi penyokong Umno’
Chong turut berkata dalam tiga pilihan raya umum lalu, MCA tewas terus dan ditolak oleh ahli partinya sendiri.
"Apa yang lebih memalukan, MCA masih menyerang DAP, tetapi terus bergantung pada undi Umno untuk kekal hidup. Tiada prinsip, tiada maruah.
"Kalau dua kerusi itu pun hasil sokongan pengundi Umno, maka kembalikanlah kepada Umno sebagai tanda hormat terhadap rakan gabungan," katanya.
Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menggesa MCA berhenti menyalahkan BN atas kemerosotan sokongan terhadap parti berkenaan.
Puad sebaliknya berkata MCA perlu bermuhasabah dan bertanya kepada diri sendiri mengapa sokongan masyarakat Cina terhadap parti itu terus merosot sehingga hanya memenangi dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ini adalah sebagai respon terhadap gesaan Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon agar parti itu menentukan masa depannya sendiri jika BN terus menangguhkan keputusan mengenai hala tuju mereka.
Dalam pada itu Chong berkata MCA tidak harus terus hidup dalam rangka lama yang gagal.
"Lebih baik mereka gabungkan tenaga dan pengalaman ke dalam parti yang benar-benar membawa perubahan.
"Kalau MCA benar-benar masih ada tanggungjawab kepada rakyat, keputusan paling wajar yang mereka boleh buat ialah bubarkan parti dan sertai DAP. Bukan terus menyerang, bukan terus menipu diri," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan