CUACA TIDAK MENENTU: PETANDA KETARA PERUBAHAN IKLIM DAN KEPERLUAN KESIAPSIAGAAN AWAM
Bulan lalu, saya telah menulis tentang keadaan cuaca yang tidak menentu dan ia adalah merupakan ancaman senyap yang mengundang bencana. Bencana yang tercetus akibat cuaca yang tidak menentu ini akan memberikan impak terhadap kita sebagai masyarakat dan infrastruktur (https://www.khairulfaizi.com.my/2025/04/cuaca-tidak-menentu-ancaman-senyap-yang.html)
Malaysia kini sedang berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu berikutan fasa peralihan monsun yang dijangka berterusan hingga pertengahan Mei 2025. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) beberapa hari yang lalu, corak cuaca ketika ini dicirikan oleh suhu panas yang tinggi pada waktu tengah hari, diikuti dengan kejadian ribut petir dan hujan lebat pada sebelah petang.
Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip, corak ini adalah lazim dalam tempoh peralihan monsun akibat kurangnya litupan awan pada awal hari. Awan kumulonimbus yang terbentuk pada lewat petang menghasilkan hujan lebat serta ribut yang berpotensi menimbulkan risiko banjir kilat dan kerosakan harta benda. Walaupun suhu tahun ini tidak seteruk tahun lalu yang mencatatkan paras ekstrem di beberapa kawasan, kesan terhadap kesihatan dan keselamatan awam masih signifikan.
Lebih membimbangkan, corak cuaca luar biasa ini dikaitkan dengan fenomena pemanasan global. Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor menjelaskan bahawa peningkatan suhu, diikuti hujan lebat serta kejadian banjir kilat yang semakin kerap adalah antara kesan nyata perubahan iklim. Fenomena ini bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, malah memberi tekanan besar kepada sistem saliran bandar, infrastruktur awam dan pengurusan bencana negara sehingga dunia kini di ambang krisis iklim (rujuk tulisan saya; https://www.khairulfaizi.com.my/2025/04/pemanasan-global-kini-tahap-kritikal.html)
Peralihan ke Monsun Barat Daya yang dijangka bermula pertengahan Mei pula akan membawa cuaca kering dan taburan hujan rendah, terutamanya di kawasan utara dan pedalaman Semenanjung. Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba dan kekurangan air sekiranya langkah pengurusan sumber tidak dilaksanakan dengan cekap.
Dalam menghadapi realiti ini, MET Malaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi seperti laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca serta media sosial. Tindakan ini penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan awam serta mengurangkan risiko bencana berkaitan cuaca.
Cuaca Tidak Menentu Adalah Fenomena Global
Isu cuaca tidak menentu bukanlah masalah yang dihadapi oleh Malaysia sahaja, tetapi merupakan fenomena global yang semakin ketara di banyak negara akibat perubahan iklim dan pemanasan global.
Contohnya, di Asia Tenggara, negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan Malaysia akan mengalami musim panas yang semakin panjang dan suhu lebih tinggi. Kejadian ribut petir, hujan lebat luar jangka dan banjir kilat semakin kerap berlaku. Lautan lebih panas menyebabkan gangguan kepada corak monsun dan siklon tropika.
Di Eropah pula, gelombang haba yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini berlaku di Perancis dan Sepanyol sehingga menyebabkan musim sejuk semakin pendek, salji kurang stabil dan kebakaran hutan meningkat seperti yang berlaku di Greece dan Itali.
Di Amerika Utara, cuaca ekstrem seperti puting beliung, salji lebat dan gelombang haba luar biasa. Berlakunya kebakaran hutan besar-besaran di Kanada dan California. Kesan lain adalah gangguan kepada pertanian akibat musim kering atau hujan terlalu banyak.
Afrika mengalami kesan paling paling teruk dari segi kemarau panjang dan kekurangan air. Peningkatan suhu memburukkan lagi kekurangan makanan dan konflik sumber. Manakala di Australia dan Oceania, sering dilanda gelombang haba ekstrem, kebakaran hutan besar, dan banjir besar (seperti banjir Queensland). Cuaca semakin tidak menentu menjejaskan ekosistem seperti Terumbu Karang Besar (Great Barrier Reef).
Isu cuaca tidak menentu adalah fenomena global; Malaysia bukan keseorangan. Cuma, kesannya adalah berbeza. Cuaca tidak menentu adalah cerminan kesan perubahan iklim global, hasil daripada pelepasan gas rumah hijau, pembandaran tidak terkawal, penebangan hutan dan amalan pembangunan yang tidak lestari. Ia memerlukan tindakan secara bersama di seluruh dunia untuk menangani puncanya dan membina daya tahan masyarakat terhadap kesan-kesan ini.
Penutup
Situasi cuaca semasa memberi gambaran jelas bahawa kesan perubahan iklim semakin ketara dan tidak boleh diabaikan. Ia menuntut tindakan kolektif bukan sahaja daripada pihak berkuasa, tetapi juga masyarakat umum dalam aspek pendidikan, kesedaran, serta amalan mesra alam yang mampan. Keseimbangan antara pembangunan dan kelestarian alam harus diberi perhatian serius agar negara dapat menghadapi cabaran iklim masa kini dan akan datang dengan lebih berdaya tahan.
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia
6 Mei 2025
Ulasan
Catat Ulasan