
Dakwaan Pamela dilarikan individu menyamar polis disiasat
05 Mei 2025 05:52pm
Masa membaca: 3 minit
KUALA LUMPUR – Polis sedang menyiasat dakwaan berhubung kes kehilangan Pamela Ling Yueh disyaki dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis 'polis', namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Siasatan semasa kejadian turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Pada masa ini, semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu e-hailing yang membawa Pamela sedang dikumpulkan,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Razarudin berkata, pihaknya turut menyiasat dakwaan bahawa mangsa dilarikan oleh anggota polis.
“Pihak polis masih meneliti sama ada dia dilarikan oleh polis sebenar atau individu yang menyamar sebagai polis,” katanya.
Tambah beliau, pihak polis tidak dapat mendedahkan secara terperinci mengenai siasatan kes kehilangan Pamela kerana dikhuatiri boleh menjejaskan sebarang perancangan dan tindakan susulan yang bakal diambil selain siasatan yang sedang berjalan.
“Pada masa ini, saya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk membantu Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam siasatan kes berkenaan sekali gus menjejaki keberadaan Pamela.
“Kita sedang meneliti segala fakta dan petunjuk yang ada dalam usaha mengesan mangsa,” katanya.
Terdahulu pada Isnin, sebuah portal berita mendakwa Pamela disyaki dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis.
Menurut laporan portal berkenaan yang memetik kenyataan peguam Pamela, N. Sivananthan, beliau telah melihat laporan polis yang dibuat oleh pemandu e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian.
Peguam itu mendakwa, berdasarkan laporan polis yang dibuat oleh pemandu e-hailing tersebut, kenderaannya dipintas ketika mereka hampir tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.
Ketika kenderaan e-hailing melalui Balai Bomba dan Penyelamat Putrajaya yang terletak bersebelahan bangunan SPRM, tiga kenderaan – dua daripadanya berwarna biru gelap dan putih – telah menghentikan kereta tersebut.
Peguam itu turut mendakwa, seorang lelaki memakai vest polis dan seorang wanita berpakaian seragam polis kemudian meminta Pamela mengikut mereka.
Dakwa Sivananthan lagi, individu berkenaan turut mengambil MyKad pemandu e-hailing itu sebelum membawa Pamela pergi, sebelum pemandu terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, enggan mengulas lanjut berhubung dakwaan tersebut namun mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar jam 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang.
SPRM dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan.
Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari yang sama.
Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak di bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Ulasan
Catat Ulasan