Desak aliran najis babi ke Sungai Bidor dihentikan


Desak aliran najis babi ke Sungai Bidor dihentikan
May 5, 2025

TAPAH: Yang Dipertua PAS Kawasan Tapah, Ustaz Abdul Muhaimin Malek menggesa tindakan segera diambil bagi menyekat aliran najis khinzir dari ladang ke Sungai Bidor di Kampung Kuala Gepal, di sini.

Beliau yang kini menjadi pendesak dan pemudahcara kepada masyarakat Tapah, khususnya DUN Ayer Kuning berkata, tinjauan telah dibuat semalam untuk melihat tindakan selanjutnya diambil oleh pihak pemilik ladang berkenaan.

“Saya bersama rakan-rakan turun semula ke Sungai Bidor di Kampung Kuala Gepal untuk melihat adakah ada tindakan selanjutnya dilakukan pihak pemilik ladang khinzir yang kita bangkitkan tentang isu kumbahan najis haiwan khinzir ini yang dialirkan terus ke dalam Sungai Bibor.

“Ianya telah berlaku pencemaran kepada sungai tersebut dan juga sekali gus menjadi pencemaran kepada alam dan kita patut rasa bertanggungjawab secara bersama untuk memastikan ianya tidak berulang,” katanya dalam video di media sosial miliknya.

Beliau berkata, isu yang dibangkitkan semasa tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning itu telah juga disuarakan kepada Ahli Dewan Negeri (ADUN) yang baharu dipilih supaya perkara berkenaan dibawa kepada perhatian Exco.

“Jadi saya telah pun menyuarakan ya bagi pihak rakyat tentang hal ini kepada Yang Berhormat yang baru dipilih dalam PRK baru-baru ini supaya Yang Berhormat dapat berbincang dengan pihak Exco berkenaan.

“(Ia) paling tidak meminta mengeluarkan arahan kepada pemilik ladang khinzir yang kita sebutkan tadi agar mereka membuat sekatan sekat aliran najis ataupun kumbahan najis haiwan khinzir untuk lalu terus ke dalam sungai untuk masuk terus ke dalam sungai. Disekat serta-merta.

“Paling tidak yang kita mintalah setelah seminggu berlalunya PRK ni kita minta Yang Berhormat untuk berbincang dengan pihak Yang Berhormat Exco agar mengeluarkan arahan kepada pemilik ladang ini supaya tidak berlaku pengaliran secara berterusan ke dalam sungai najis khinzir,” katanya.

Bekas calon Perikatan Nasional (PN) PRK DUN N.48 Ayer Kuning itu berharap tindakan lanjut dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Saya mengharapkan agar adalah tindakan yang selanjutnya berlaku. Insya-Allah kita akan melihat selepas nanti perkembangan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan, Nurhafizul Badrul Hisham, turut mempersoalkan kaedah penyelesaian yang dilakukan pihak terlibat yang disifatkan tidak profesional.

“Paip kumbahan najis babi yang bocor sebelum ini hanya ditampal dengan plastik letak ais batu. Nak bagi kuat ikat sikit dengan dawai hijau yang kontraktor guna untuk buat pagar rumah.

“Memang SOP yang MB Saarani, abg Mad Sabu dan DS Zahid cakap hari tu macam ni ke? Saja tanya,” katanya ringkas. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

Ulasan