Dua bekas tahanan Guantanamo dilarang keluar negara 5 tahun



Berita
Dua bekas tahanan Guantanamo dilarang keluar negara 5 tahun

Diterbitkan: May 8, 2025 12:50 PM
Dikemaskini: 12:52 PM

Dua suspek pengganas warga Malaysia yang dihantar pulang selepas hampir dua dekad ditahan di Teluk Guantanamo, Cuba, kini dikenakan larangan perjalanan selama lima tahun sebagai sebahagian daripada syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Polis Negara Razarudn Husain dilaporkan mengesahkan bahawa larangan itu dikenakan ke atas Nazir Lep dan Farik Amin, yang mengaku bersalah pada tahun lalu atas peranana mereka dalam pengeboman di Bali yang membunuh lebih 200 orang pada 2002.

“Ia sebahagian daripada persetujuan dengan kerajaan. Mereka mesti kekal dalam negara selama lima tahun, termasuk tidak boleh melaksanakan Umrah dan Haji,” katanya kepada portal TwentyTwo13.

“Tiada sekatan untuk perjalanan dalam negara, namun mereka dinashatkan untuk memberitahu polis yang memantau mereka berkenaan lokasi mereka untuk tujuan keselamatan,” katanya lagi.
Razarudin Husain

Nazir dan Farik masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah tentera Amerika Syarikat pada Januari 2023 selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan berkaitan penglibatan mereka dalam serangan di Bali.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, mereka bersetuju untuk memberi keterangan terhadap suspek utama, Encep Nurjaman — lebih dikenali sebagai Hambali — sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia pada Disember lalu.

Portal itu juga melaporkan penghantaran pulang mereka dilakukan secara senyap, dengan peguam mereka hanya dimaklumkan di saat akhir.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan pada 18 Disember lalu berkata, kerajaan telah merangka pelan integrasi menyeluruh untuk Nazir dan Farik, termasuk perkhidmatan sokongan sosial, bantuan kebajikan, saringan kesihatan dan mekanisme pemantauan melibatkan kunjungan polis secara berkala.

Saifuddin berkata, ia bertujuan membantu mereka membina semula kehidupan selain menghindari mereka daripada kembali kepada kegiatan berkaitan keganasan.

Menurut TwentyTwo13, seorang sumber yang tahu berkenaan perkara itu mendedahkan yang Nazir dan Farik tidak boleh dihukum di bawah undang-undang Malaysia, jadi mereka tidak ditahan sekembalinya ke tanah air.

“Mereka tidak dianggap sebagai banduan di sini. Mereka orang bebas, dan apa yang kita boleh lakukan hanyalah memantau pergerakan mereka,” kata sumber itu.

Sementara itu, portal tersebut memetik Razarudin sebagai berkata, kedua-dua lelaki itu sedang memberi tumpuan pada usaha membina semula kehidupan dengan keluarga terdekat.

“Nazir menanam cili dan menternak ayam dan kambing sebagai sebahagian daripada projek yang dimulakan ahli keluarganya,” kata Razarudin.

Farik pula menjaga ibu bapanya yang sudah tua, masing-masing berusia 83 tahun dan 89 tahun.

“Buat masa ini, dia hanya ingin bersama mereka,” kata Razarudin lagi.

Nazir, 48, dan Farik, 47, adalah antara tujuh individu yang ditahan kerana didakwa terlibat dalam pengeboman di Bali, Indonesia pada Oktober 2002 yang meragut 202 nyawa, serta pengeboman di Hotel JW Marriott Jakarta pada Ogos 2003 yang mengorbankan 12 orang.

Mereka dilaporkan ditahan di Thailand pada 2003 dan dipindahkan ke lokasi rahsia yang dikendalikan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006, namun tidak pernah dihadapkan ke mahkamah sehingga Januari tahun lalu.

Ulasan