
Dua ditahan termasuk seorang Datuk, tuntutan palsu RM450 juta
05 Mei 2025 06:42pm
Masa membaca: 2 minit
Dua suspek termasuk seorang bergelar Datuk ditahan SPRM kerana mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu kira-kira RM450 juta.
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua individu termasuk seorang bergelar Datuk yang disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM450 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Ahad ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Kata sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM450 juta yang melibatkan penggunaan dana sukuk dan mendapatkan fasiliti daripada sebuah pejabat wilayah bagi projek pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM1.3 bilion.
"Tangkapan ini adalah susulan daripada tangkapan sebelum ini yang melibatkan tuntutan butir matan palsu bernilai kira-kira RM360 juta, menjadikan jumlah keseluruhan tuntutan palsu ini kira-kira RM800 juta," katanya pada Isnin.
Menurutnya, suspek bergelar Datuk itu sebelum ini pernah ditahan reman selama empat hari dari 30 April hingga 3 Mei lalu membabitkan kes tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Bagaimanapun, Datuk berkenaan ditahan semula bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu yang kali ini melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.
Sinar Harian difahamkan bahawa perintah reman selama dua hari sehingga Selasa telah dikeluarkan terhadap suspek bergelar Datuk yang berusia sekitar 60-an.
Sementara itu, reman selama lima hari sehingga Jumaat dikenakan terhadap seorang lagi suspek yang berusia sekitar 50-an.
Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah, Siti Roslizawati Mohd Zanin, selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Isnin.
Pada minggu lalu, lima individu telah ditahan reman berkaitan kes ini dan empat daripada mereka telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Ulasan
Catat Ulasan