
Gempa bumi Myanmar: 653 mangsa berjaya diselamatkan
Oleh AGENSI - Mei 2, 2025 @ 11:01pm
Seorang sami berjalan melepasi runtuhan bangunan di Mandalay selepas kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.7 magnitud pada 12 April lalu. - Foto AFP
YANGON: Seramai 653 mangsa gempa bumi di Myanmar berjaya diselamatkan anggota pasukan penyelamat, lapor akhbar harian milik kerajaan Myanmar, Alinn hari ini.
Operasi pencarian mangsa dalam bencana itu dijalankan anggota pasukan penyelamat tempatan dan antarabangsa.
Laporan sama turut memberitahu setakat semalam, sejumlah 779 mayat sudah dikeluarkan dari lokasi bencana.
Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud itu melanda Myanmar pada 28 Mac lalu.
Menurut agensi berita Xinhua, sehingga semalam bencana berkenaan dilaporkan meragut 3,835 nyawa dan mengakibatkan 5,105 orang cedera, sementara status 105 lagi mangsa masih belum diketahui.
Myanmar berdepan 157 gegaran susulan berikutan gempa bumi dahsyat berukuran 7.7 magnitud pada 28 Mac lalu.
Gegaran susulan itu direkodkan antara 2.8 hingga 7.5 magnitud.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) negara itu, lebih 200,000 orang kehilangan tempat tinggal selepas gempa bumi kuat melanda tengah Myanmar pada 28 Mac lalu.
Pada mesyuarat ketiga jawatankuasa itu yang diadakan pada Jumaat di Nay Pyi Taw, Pengerusi NDMC,Jeneral Soe Win, berkata gempa bumi menyebabkan kemusnahan meluas di 10 wilayah dan negeri, termasuk Nay Pyi Taw, Sagaing, Mandalay, Bago, Magway dan Shan.
Gempa bumi itu memusnahkan lebih 63,000 rumah, 6,700 sekolah, 5,400 biara, 5,300 pagoda dan ratusan bangunan keagamaan, hospital, jambatan, jalan raya, dan empangan.
Ulasan
Catat Ulasan