
Gesa Malaysia tidak tunduk kepada Amerika Syarikat
Sidang Khas Dewan Rakyat, 5 Mei
May 4, 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia mesti meneroka pasaran baharu yang lebih luas, seterusnya memperkasakan industri ataupun pengeksport tempatan ini supaya tidak lagi bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS).
Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman menyatakan perkara itu sebagai antara butiran akan diulang pertegaskan oleh pembangkang pada Persidangan Khas Dewan Rakyat yang bakal dilangsungkan esok, 5 Mei.
Sidang Khas yang diadakan atas permintaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu telah dimaklum bakal membincangkan isu tarif timbal balas dikenakan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump terhadap Malaysia.
“Ada dua tiga perkara pembangkang pernah cadangkan. Antaranya pelepasan cukai ataupun bentuk perlindungan kepada PKS-PKS di Malaysia berdepan dengan impak kenaikan kos, penguncupan pasaran dan kesukaran untuk mengadaptasi perubahan.
“Jadi itu antara yang akan dibawa dan selain itu beberapa penegasanlah tentang pendirian Malaysia supaya tidak berpihak, supaya tidak tunduk kepada mana-mana tekanan ataupun kuasa dunia besar.
“Dan memang kita Malaysia dan juga ASEAN ni perlu mempertahankan prinsip kebebasan ataupun tidak berpihak ‘neutrality’ yang kita amalkan, yang kita pegang sejak tertubuhnya negara Malaysia ini,” ujarnya.
Maklum beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), dalam perbahasan bakal dibuka nanti, PAS dan BERSATU akan menyatakan sumbang saran, idea dan penegasan terhadap isu itu demi kepentingan negara dan rakyat.
Penolong Setiausaha Agung PAS itu turut berharap pihak kerajaan konsisten untuk mengadakan Persidangan Khas Parlimen apabila timbul isu-isu yang mendesak ini serta isu lain pernah timbul sebelum ini berkaitan rakyat, negara dan global.
Antaranya ujar Syahir, seperti isu Palestin dan isu tatakelola yang besar-besar sebagaimana baru-baru ini melibatkan ‘bail out’ oleh Kementerian Kewangan terhadap syarikat Sapura dan juga transaksi kontroversi Blackrock.
“Jadi perkara-perkara begini boleh dipanggil Sidang Khas sebelum ataupun di luar Sidang Parlimen ataupun isu-isu yang sangat berkait rapat dengan rakyat antaranya pelaksanaan subsidi bersasar.
“Kita secara umumnya menyambut baik ruang yang diberikan ini dan kita mengharapkan lebih banyak lagi perkara-perkara yang mendesak dan melibatkan kepentingan nasional dan rakyat boleh dibahaskan dalam Sidang Khas Dewan Rakyat.
“Memang kita menerusi Ketua Pembangkang (Dato’ Seri Hamzah Zainudin) telah sedia telah keluarkan kenyataan lebih awal sebelum ini tentang beberapa saranan dan syor yang boleh diambil oleh pihak kerajaan.
“Sebagainya telah dilaksanakan, sebahagiannya belum dilaksanakan dan yang biasa diulang-ulang ialah tentang tindakan di peringkat antarabangsalah serta rundingan-rundingan yang lepas,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan