Harga minyak sawit mentah dijangka cecah RM4,200 satu tan


Harga minyak sawit mentah dijangka cecah RM4,200 satu tan
HARGA MSM dijangka mencapai RM4,000 setan pada 2026.
Oleh ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
5 Mei 2025, 9:15 am

PETALING JAYA: Purata harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka mencecah RM4,200 satu tan tahun ini susulan premium harga tinggi yang dinikmati minyak sawit berbanding minyak kacang soya pada suku pertama 2025, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan berkata, harga MSM bagi 2025 setakat ini telah turun daripada paras tinggi suku keempat 2024, manakala harga premium berbanding minyak kacang soya telah tiada.

Katanya, permintaan biodiesel juga berkurangan, terutama di Amerika Syarikat (AS), namun pembeli giat melakukan pengisian semula stok.

“Secara keseluruhan, defisit bekalan dijangka kekal pada 2025 dengan paras inventori mungkin berkurangan buruk tahun ke tahun, justeru harga berkemungkinan kekal kukuh, antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan.

“Jangkaan kami harga purata MSM adalah RM4,200 satu tan pada 2025 dan RM4,000 satu tan pada 2026,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kenanga Investment berkata, pihaknya terus memilih perladangan untuk pendapatan bersifat defensif memandangkan permintaan makanan membentuk 70 peratus daripada permintaan minyak makan, dengan 23 peratus sebagai bahan api biodiesel.

“Oleh itu, permintaan kekal kukuh dengan pertumbuhan tahunan berterusan walaupun dalam keadaan kelembapan ekonomi global, dasar perlindungan perdagangan dan ketegangan,” tambahnya.

Bank pelaburan berkata, lembaran imbangan sektor perladangan kekal kukuh memandangkan banyak syarikat perladangan memegang tunai bersih atau tahap kadar hutang boleh urus, dengan margin kekal baik disokong oleh harga MSM dan isirung sawit yang kukuh.-UTUSAN

Ulasan