
Ikhtilaf mazhab: Antara khilaf dan kesatuan umat
May 11, 2025
PERBINCANGAN tentang Islam adalah difahami daripada perkataan al-din menurut bahasa al-Quran, berbeza dengan perkataan agama atau religion dalam bahasa lain. Hal ini demikian kerana, Islam merangkumi seluruh urusan manusia dalam segala aspek mengikut fitrahnya dari aspek jasad, roh, akal, dan nafsu, serta melibatkan kehidupan secara bersendirian dan bermasyarakat. Malah, dinyatakan tujuan kejadian manusia dalam perkara ibadah, khilafah, dan amanah.
Firman Allah SWT:
وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ ٥٦
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” [Surah al-Zariyat: 56]
Firman Allah SWT:
وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ إِنِّي جَاعِلٞ فِي ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةٗۖ قَالُوٓاْ أَتَجۡعَلُ فِيهَا مَن يُفۡسِدُ فِيهَا وَيَسۡفِكُ ٱلدِّمَآءَ وَنَحۡنُ نُسَبِّحُ بِحَمۡدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَۖ قَالَ إِنِّيٓ أَعۡلَمُ مَا لَا تَعۡلَمُونَ ٣٠
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sesungguhnya, Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.’ Mereka berkata, ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan menyucikan Engkau?’ Tuhan berfirman, ‘Sesungguhnya, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.’” [Surah al-Baqarah: 30]
Firman Allah SWT lagi:
إِنَّا عَرَضۡنَا ٱلۡأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱلۡجِبَالِ فَأَبَيۡنَ أَن يَحۡمِلۡنَهَا وَأَشۡفَقۡنَ مِنۡهَا وَحَمَلَهَا ٱلۡإِنسَٰنُۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومٗا جَهُولٗا ٧٢
“Sesungguhnya, Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-ganang, tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan amanah itu hanya sanggup dipikul oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” [Surah al-Ahzab: 72]
Dalam sebuah hadis, ada diriwayatkan berkenaan soalan malaikat Jibril kepada Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa al-din (Islam) itu terbahagi kepada tiga perkara, iaitu Islam, iman dan ihsan. Adapun ajaran Islam itu terbahagi kepada dua keadaan, iaitu al-thawabit dan al-mutaghayyirat.
Al-thawabit ialah perkara yang tetap dan tidak berubah yang berkait dengan dasar dan rukun agama, serta maslahat fitrah (maqasid al-syari‘ah) yang tidak berubah bagi rukun kejadian manusia; iaitu menjaga agama, nyawa, akal, zuriat, maruah dan harta. Dalam perkara ini, ditetapkan sempadan halal dan haram secara nas qat‘iyyat.
Adapun al-mutaghayyirat ialah perkara yang mengalami perubahan sepanjang zaman, khususnya bagi Nabi akhir zaman yang diutus kepada seluruh manusia. Perkara ini disebut juga sebagai furu‘ (cabang).
Berlakunya kelahiran pelbagai mazhab dalam perkara cabang (al-mutaghayyirat), tetapi tetap bersatu dalam perkara al-thawabit (perkara dasar, rukun dan fitrah yang telah ditetapkan).
Perbezaan yang diharuskan ialah kekhilafan yang berlaku dalam perkara furu‘ sahaja, dan pecahan-pecahannya dinamakan mazhab. Berlaku kekhilafan yang diharuskan ini berdalilkan firman Allah SWT:
وَدَاوُۥدَ وَسُلَيۡمَٰنَ إِذۡ يَحۡكُمَانِ فِي ٱلۡحَرۡثِ إِذۡ نَفَشَتۡ فِيهِ غَنَمُ ٱلۡقَوۡمِ وَكُنَّا لِحُكۡمِهِمۡ شَٰهِدِينَ ٧٨ فَفَهَّمۡنَٰهَا سُلَيۡمَٰنَۚ وَكُلًّا ءَاتَيۡنَا حُكۡمٗا وَعِلۡمٗاۚ وَسَخَّرۡنَا مَعَ دَاوُۥدَ ٱلۡجِبَالَ يُسَبِّحۡنَ وَٱلطَّيۡرَۚ وَكُنَّا فَٰعِلِينَ ٧٩
“Dan (ingatlah kisah) Dawud dan Sulaiman, sewaktu kedua-duanya memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan mereka itu. [78] Maka, Kami telah memberikan pengertian kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat); dan kepada mereka masing-masing telah Kami berikan hikmah dan ilmu serta telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Dawud. dan Kamilah yang melakukannya. [79]” [Surah al-Anbiya’: 78-79]
Sabda Rasulullah SAW:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ فَلَهُ أَجْرٌ.
“Apabila seorang hakim (termasuk para ulama’ yang mengkaji hukum) berhukum lalu dia berijtihad; kemudiannya dia betul, maka baginya dua ganjaran pahala. Sekiranya beliau menghakimi dan berijtihad; kemudian dia tersalah dalam ijtihadnya, maka baginya satu pahala.” [Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-I‘tisam bi al-Kitab wa al-Sunnah, No. 7352, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Aqdiyah, No. 1716, daripada ‘Amr bin al-‘As]
Walau bagaimanapun, berijtihad hanya boleh dilakukan oleh mereka yang mempunyai kelayakan ilmu dan akhlak.
Rasulullah SAW tidak melarang para sahabat berkhilaf dalam perkara furu‘. Malah, tidak timbul masalah pada zaman Baginda kerana wahyu masih diturunkan dan Rasulullah SAW dipatuhi secara mutlak.
Adapun perpecahan dalam perkara dasar dan rukun Islam pula dinamakan firqah yang dihukum haram, dan menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada agama Islam. Firman Allah SWT:
فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفٗاۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِي فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡهَاۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ ٣٠ ۞مُنِيبِينَ إِلَيۡهِ وَٱتَّقُوهُ وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَلَا تَكُونُواْ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٣١ مِنَ ٱلَّذِينَ فَرَّقُواْ دِينَهُمۡ وَكَانُواْ شِيَعٗاۖ كُلُّ حِزۡبِۢ بِمَا لَدَيۡهِمۡ فَرِحُونَ ٣٢
“Maka, hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tiada perubahan pada fitrah penciptaan Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. [30] Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertaqwalah kepada-Nya serta dirikanlah solat dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah. [31] Iaitu orang-orang yang memecahbelahkan agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka. [32]” [Surah al-Rum: 30-32]
Firqah ialah agama ciptaan seperti Qadyani, Baha’i, Yazidiyyah, Druze dan lain-lain. Mazhab yang keluar daripada Islam pula termasuk pelampau Syiah seperti Saba’iyyah, Bayaniyyah dan lain-lain. Demikian juga pelampau Khawarij seperti Azariqah dan lain-lain yang menolak mana-mana rukun dan dasar Islam, serta melakukan perkara yang membatalkan syahadahnya.
Adapun bertafaqquh (memahami perkara agama) diwajibkan kerana Allah mewajibkan seseorang itu tafaqquh (faham) dalam perkara agama, sebagaimana firman Allah SWT:
۞وَمَا كَانَ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ لِيَنفِرُواْ كَآفَّةٗۚ فَلَوۡلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرۡقَةٖ مِّنۡهُمۡ طَآئِفَةٞ لِّيَتَفَقَّهُواْ فِي ٱلدِّينِ وَلِيُنذِرُواْ قَوۡمَهُمۡ إِذَا رَجَعُوٓاْ إِلَيۡهِمۡ لَعَلَّهُمۡ يَحۡذَرُونَ ١٢٢
“Dan tidaklah sepatutnya orang-orang yang beriman itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada mereka (yang tinggal) untuk bertafaqquh (memperdalam pengetahuan dan kefahaman mereka tentang agama), dan untuk memberikan peringatan kepada kaumnya (yang keluar berjuang) apabila mereka telah kembali kepadanya; supaya mereka dapat menjaga dirinya (daripada melakukan larangan Allah dengan petunjuk-Nya).” [Surah al-Tawbah: 122]
Maka, fiqh (bertafaqquh) dalam perkara Islam yang disebut dalam ayat di atas merangkumi segala aspek ajaran Islam. Para ulama’ menamakan pula tiga perkara tersebut kepada aqidah, syariat dan akhlak, dan ada juga kalangan yang menamakannya dengan tasawuf.
Kemudian, perkataan tafaqquh dikhususkan kepada ilmu syariat sahaja.
Kekhilafan dalam perkara furu‘ lebih berkait dengan perbezaan kefahaman dan pendapat yang diharuskan, serta berkait juga dengan tafaqquh dalam perkara agama. Pada masa hayat Rasulullah SAW, tidak berlaku kekhilafan kerana adanya wahyu daripada Allah yang diturunkan, dan Rasulullah SAW yang bersifat maksum dan ditaati secara mutlak.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, berlaku kelahiran mazhab dalam masalah khilafah (politik), khususnya dalam urusan memilih ketua negara sebagai pengganti Baginda. Terdapat tiga pandangan dalam syura para sahabat RA.
Kaum Ansar mencadangkan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA iaitu pemimpin daripada kalangan Ansar.
Kalangan Ahli al-Bait dan pengikutnya mencadangkan ‘Ali bin Abi Talib RA.
Kalangan Muhajirin mencadangkan Abu Bakar al-Siddiq RA.
Kemudian, semuanya bersatu dengan berbaiah kepada Abu Bakar al-Siddiq RA, ‘Umar bin al-Khattab RA, ‘Uthman bin al-Affan RA dan Ali bin Abi Talib RA bersilih ganti pada zaman kekhalifahan masing-masing.
Selepas berlakunya fitnah yang menyebabkan Khalifah ‘Uthman RA gugur syahid, berlaku lebih banyak lagi fitnah. Hal ini demikian kerana, pada waktu itu ramai yang baru memeluk Islam dan masih jahil dalam urusan agama.
Pada zaman selepasnya, umat Islam berpecah kepada tiga mazhab dalam aspek khilafah. Mazhab Sunni diambil daripada pendapat golongan Muhajirin, Mazhab Syiah daripada pendapat golongan Ahli al-Bait dan Mazhab Khawarij daripada pendapat golongan Ansar.
Kemudian, berlakunya perpecahan mazhab aqidah kepada Salaf dan Khalaf, seterusnya Mu‘tazilah, Jabariyyah dan lain-lain. Perpecahan dalam kalangan Ahli al-Sunnah kepada Salaf dan Khalaf berlaku selepas abad ketiga Hijrah pada zaman ‘Abbasiyyah. Hal ini demikian kerana, berlakunya gerakan penterjemahan ilmu daripada bahasa asing.
Rasulullah SAW menyebut tentang tiga generasi terawal dalam sabdanya:
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ.
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang hidup pada kurunku, kemudian pada kurun berikutnya, kemudian pada kurun berikutnya.” [Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, No. 2652, dan Muslim, Sahih Muslim, Kitab Fada’il al-Sahabah, No. 2533, daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud]
Imam al-Nawawi RH menegaskan:
الصَّحِيحُ أَنَّ قَرْنَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الصَّحَابَةُ، وَالثَّانِي: التَّابِعُونَ، وَالثَّالِثُ: تَابِعُوهُمْ.
“Mereka ialah generasi para sahabat, kemudian generasi tabiin sehingga tabi‘ tabiin (sehingga tamatnya 300 tahun Hijrah).” [Al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, Jld. 16, Hlm. 85]
Maka, para ulama’ dalam generasi ini termasuk imam empat mazhab − Hanafi, Maliki, Syafi‘i, Hanbali, dan lain-lain daripada kalangan Syiah dan Khawarij yang berada pada zaman tersebut, namun berbeza mazhab dalam kefahaman politik. Adapun dalam mazhab aqidah, semuanya bermazhab Salaf.
Termasuklah daripada kalangan ulama’ mutakhir seperti Imam al-Nawawi RH dan Ibn Kathir RH daripada Mazhab Syafi‘i, serta Imam Abu al-Hasan al-Ash‘ari RH yang kemudiannya membawa Mazhab al-Asha‘irah pada zaman Khalaf. Demikian juga Imam al- San‘ani RH dan Imam al-Shawkani RH daripada mazhab Zaidiyyah yang aqidahnya bermazhab Salaf.
Kedatangan Mazhab Khalaf yang terdiri daripada kalangan al-Asha‘irah dan al-Maturidiyyah pada zaman mutakhir selepas dimasuki ilmu falsafah dan ilmu mantiq sehingga dijadikan alat dalam mengkaji aqidah. Kekhilafan berlaku dalam aspek Tauhid Sifat, khususnya berkaitan beberapa sifat Allah yang dinamakan sebagai sifat dua puluh, serta dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis mutasyabihat, dan perkara-perkara berkaitan qada’ dan qadar.
Adapun dalam aspek Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyyah serta sifat-sifat kesempurnaan Allah, tidak berlaku khilaf. Namun begitu, disebabkan penumpuan yang berlebihan terhadap perkara khilaf, maka perkara-perkara yang tiada perselisihan ini diabaikan.
Dalam kalangan ulama Ahli al-Sunnah, terdapat pandangan bahawa mazhab Salaf dalam aqidah adalah lebih aslam (selamat) daripada waswas dan kekeliruan yang muncul akibat perbahasan falsafah dalam mazhab Khalaf. Sepatutnya, perkara yang berkaitan dengan Allah tidak wajar ditafsirkan menggunakan akal secara bebas.
Ada yang membawa pendekatan untuk menyelaraskan kefahaman antara kedua-dua aliran Salaf dengan Khalaf berpandukan apa yang telah disebutkan dalam Matan al-Jawharah, salah sebuah karya daripada ulama’ al-Asha‘irah:
وَكُلُّ نَصٍّ أَوْهَمَ التَّشْبِيهَا … أَوِّلْهُ أَوْ فَوِّضْ وَرُمْ تَنْزِيهًا.
“Dan setiap nas yang mengelirukan yang menyamakan Allah dengan makhluknya (memberi makna tasybih); maka takwillah (tafsir) atau serahkan tanpa takwil dan nyatakan tujuan Maha Suci Allah daripada penyamaan dengan makhluk-Nya.” [Al-Baijuri, Tuhfah al-Murid Sharh Jawharah al-Tawhid, Hlm. 54]
Ada juga dalam kalangan generasi muta’akhirin daripada mazhab-mazhab fiqh yang beraqidah Salafi, seperti Imam al-Nawawi RH dan Ibn Kathir RH daripada kalangan Sunni, serta Imam al-San‘ani RH daripada Syiah Zaidiyyah yang berpegang dengan aqidah Salafi.
Dalam mazhab aqidah juga, ada kalangan yang terpengaruh dengan ajaran sesat yang menjadi firqah yang terkeluar daripada Islam, termasuk daripada kalangan Syiah dan Khawarij. Adapun mazhab fiqh telah wujud sejak zaman para sahabat RA, dengan kekhilafan yang berlaku dalam hukum furu‘ iaitu perkara ijtihad, disebabkan oleh beberapa faktor:
Konsep yang umum.
Perkataan dalam bahasa Arab yang mempunyai pelbagai makna.
Qiraat al-Quran yang berbeza.
Nas yang bersifat umum dan sebab yang khusus.
Keadaan para sahabat yang berjauhan, serta perbezaan situasi dan realiti mengikut tempat dan masa.
Maka, lahirlah mazhab-mazhab para sahabat, tabiin dan tabi‘ tabiin, bukan sekadar empat mazhab yang masyhur pada hari ini. Terdapat juga mujtahid dalam mazhab masing-masing, seperti al-Shaibani RH dan Abu Yusuf RH daripada mazhab Hanafi, al-Jassas RH daripada mazhab Maliki, serta Ibn Taimiyyah RH dan Ibn al-Qayyim RH dalam mazhab Hanbali.
Dalam mazhab fiqh, ada kalangan ulama’ yang bersikap terbuka dan tidak terikat kepada satu mazhab sahaja kerana kemampuan mereka memahami dalil-dalil hukum syarak. Ada juga yang melihat keperluan untuk memahami perbezaan zaman dan situasi masyarakat.
Contohnya, para pendakwah di Nusantara yang tidak terikat sepenuhnya dengan mazhab Syafi‘i dalam isu kafir zimmi (kerakyatan bukan Islam) yang asalnya hanya merujuk kepada Ahli Kitab dan Majusi sahaja. Akan tetapi, mereka memakai mazhab yang lain terhadap penduduk Nusantara yang beragama Hindu, Buddha dan lain-lain.
Ada juga gerakan islah dan tajdid yang dinyatakan oleh sabda Rasulullah SAW:
إِنَّ اللهَ يَبْعَثُ لِهَذِهِ الْأُمَّةِ عَلَى رَأْسِ كُلِّ مِائَةِ سَنَةٍ مَنْ يُجَدِّدُ لَهَا دِينَهَا.
“Sesungguhnya, Allah membangkitkan dalam kalangan umat ini pada setiap 100 tahun seseorang yang akan membawa pembaharuan dalam urusan agamanya.” [Abu Dawud, Sunan Abi Dawud, Kitab al-Malahim, No. 4291, daripada Abu Hurairah]
Terdapat juga golongan yang fanatik kepada satu mazhab sahaja.
Pada masa yang sama, mazhab fiqh turut muncul dalam kalangan Syiah dan Khawarij. Dalam kalangan Syiah, wujud mazhab fiqh Ja‘fariyyah dan Zaidiyyah.
Mazhab Ibadi pula sering dikaitkan dengan Khawarij, namun para ulama’ mereka menafikan kerana mereka juga merujuk kepada sumber yang sama dengan mazhab Sunni. Akan tetapi, mereka dilabel dengan kelompok Khawarij oleh kerajaan yang zalim pada zamannya.
Selain itu, terdapat juga firqah-firqah yang terkeluar daripada Islam dengan pegangan fiqh yang tersendiri.
Begitu juga mazhab yang dinamakan tariqat dalam ilmu tasawuf pada zaman mutakhir yang turut berkhilaf dalam perkara furu‘, sehingga ada firqah tasawuf yang terkeluar daripada Islam.
Muktamar yang menghimpunkan para ulama’ anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan pada 24 Jun hingga 28 Jun 2006 telah menetapkan lapan mazhab yang besar dalam masyarakat Islam sebagai Ahli Kiblat dan dianggap Islam, iaitu:
Mazhab Hanafi
Mazhab Maliki
Mazhab Syafi‘i
Mazhab Hanbali
Mazhab Zahiri daripada golongan Sunni
Mazhab Zaidiyyah daripada golongan Syiah
Mazhab Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah daripada golongan Syiah
Mazhab Ibadi daripada golongan Khawarij
Pada zaman mutakhir, selepas era penjajahan, muncul pelbagai pemikiran ciptaan manusia yang dinamakan sekularisme dan mazhab-mazhabnya seperti kapitalisme, sosialisme, komunisme, pragmatisme dan lain-lain. Terdapat pula golongan yang menempelkan Islam pada ideologi-ideologi tersebut seperti sosialisme Islam, komunisme Islam dan sebagainya kerana kejahilan terhadap agama.
Selain itu, terdapat dalam kalangan umat Islam yang melakukan pembaharuan mengikut istilah Barat atas nama islah dan tajdid yang berbeza dengan makna bahasa Arabnya. Mereka membawa teori Haddathah (kemodenan) dan bidaah yang dinamakan Islamisasi, Islam Progresif, Islam Sekular, dan Islam Liberal.
Adapun dalam soal penetapan mazhab negara, semua Imam Mazhab menetapkan Islam sebagai agama negara dan melarang kerajaan masing-masing menentukan satu mazhab yang khusus. Hal ini demikian kerana, masyarakat dan keadaan yang berbeza dan sentiasa berubah mengikut situasi dan realiti masyarakat. Maka, ditolak Rang Undang-undang (RUU) yang menetapkan agar hanya satu mazhab sahaja dijadikan mazhab negara.
Umat Islam seluruhnya yang termasuk kalangan Ahli Kiblat bersepakat dalam perkara dasar serta rukun, wajib bersatu dalam perkara tersebut, sebagaimana para ulama’ mazhab terdahulu yang saling belajar dan mengajar sesama mereka. Contohnya, Imam al-Syafi‘i RH merupakan murid kepada Imam Malik bin Anas RH dan Imam Abu al-Hasan al-Shaibani RH pula ialah murid kepada Imam Abu Hanifah RH. Imam Ahmad bin Hanbal RH pula ialah murid kepada Imam al-Syafi‘i RH.
Begitu juga, Imam al-San‘ani RH daripada mazhab Zaidiyyah mengarang kitab Subul al-Salam, syarah kepada kitab Bulugh al-Maram karangan Ibn Hajar al-Asqalani RH daripada Mazhab Syafi‘i.
Namun begitu, campur tangan asing, khususnya pihak penjajah, turut memainkan peranan dalam memecahbelahkan umat Islam melalui perbezaan antara mazhab dan juga bangsa.
Allah SWT telah menerangkan penyelesaian perbezaan mazhab dalam perkara furu‘, sebagaimana firman-Nya:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kamu kepada Allah, taatilah Rasul-Nya dan kepada ulu al-amr (ulama’ dan umara’) antara kamu. Kemudian, jika kamu saling berbantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” [Surah al-Nisa’: 59]
Hanya kalangan yang bertafaqquh dalam al-din sahaja dapat merealisasikan ayat ini. Malangnya, masih ramai yang berilmu dalam keadaan tidak bertafaqquh, menyebabkan berlakunya perpecahan yang merosakkan umat Islam dan dirasuk oleh musuh.
Firman Allah SWT:
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٥٣
“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku (Allah) yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” [Surah al-An‘am: 153]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Zulqa‘dah 1446 / 11 Mei 2025
[Bil: 31 / 2025] – HARAKAHDAILY 11/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan