
Jangan cuba sentuh PASTI, jangan cabar kami!
May 11, 2025
KUALA TERENGGANU: Pemuda PAS Negeri Terengganu mengecam cadangan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menubuhkan Jawatankuasa Khas Pendidikan Islam Prasekolah bagi menyelaras kurikulum dan pendaftaran institusi seperti Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).
Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli, menyifatkan langkah itu sebagai cubaan terang-terangan untuk merombak kandungan kurikulum pendidikan Islam dan melemahkan jati diri umat Islam sejak kecil.
“Kami tegaskan ini bukan soal pentadbiran. Ini adalah usaha jahat yang terang-terangan mahu merosakkan roh pendidikan Islam yang menjadi asas tunjang PASTI.
“Usaha ini bukan baru. Ia adalah sebahagian daripada agenda lama yang mahu meliberalkan pendidikan Islam, melemahkan asas akidah, dan menghapuskan jati diri Islam sejak di bangku kecil lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, PASTI telah lama menjadi pilihan ibu bapa yang yakin dengan sistem berasaskan nilai Islam yang mantap dan tidak tunduk kepada acuan sekular kerajaan.
“PASTI sudah lebih 40 tahun membuktikan kejayaan mendidik puluhan ribu anak anak Muslim dengan jaya tanpa bantuan kerajaan. Dengan kekuatan masyarakat, guru-guru berjiwa tarbiah dan kurikulum Islam yang kukuh.
“PASTI menjadi contoh terbaik sistem pendidikan Islam di peringkat prasekolah. Kenapa baru sekarang kerajaan mahu ‘menyelaras’? Jelas ia bukan kerana prihatin, tetapi kerana takut kepada pengaruh pendidikan Islam yang tidak tunduk kepada agenda sekular,” katanya.
Ujar beliau, sebarang usaha untuk mencairkan kandungan kurikulum atau membuang unsur perjuangan, dakwah dan tarbiah dalam sistem PASTI merupakan satu bentuk campur tangan yang tidak wajar.
“Dengan alasan penyelarasan, mereka mahu mencairkan kandungan kurikulum, membuang unsur unsur perjuangan, dakwah dan tarbiah, dan menukar PASTI menjadi institusi neutral yang tunduk kepada kerangka sekular kerajaan.
“Jika ini berlaku, anak anak PASTI akan kehilangan ruh Islam, kehilangan izzah sebagai Muslim, dan akan dibesarkan dalam sistem yang tidak membina semangat perjuangan Islam sebenar.
“Apa yang lebih menyakitkan, tindakan ini juga memperlekeh keputusan ibu bapa Muslim yang memilih PASTI kerana yakin kepada nilai Islam yang ditawarkan. Campur tangan ini adalah penghinaan terhadap jutaan ibu bapa yang mahu anak mereka dididik dalam silibus PASTI,” katanya.
Menurutnya lagi, usaha menyelaraskan prasekolah Islam seperti PASTI bukanlah dasar pendidikan yang tulen, sebaliknya bermotifkan politik.
“Kami juga melihat tindakan ini tidak lebih daripada usaha politik murahan untuk mengganggu institusi PASTI. PASTI bukan sahaja medan pendidikan, ia juga simbol kejayaan gerakan Islam membina alternatif yang bersih, berjaya dan diyakini rakyat.
“Kerajaan takut kepada kekuatan umat yang bangkit melalui pendidikan. Maka mereka mahu lemahkan ia dari dalam. Ini bukan dasar pendidikan bahkan ini strategi politik yang pengecut,” katanya.
Beliau mewakili Pemuda PAS Negeri Terengganu memberi amaran keras agar menghentikan segera sebarang usaha untuk mencampuri urusan PASTI.
“Kami akan pertahankan institusi ini dengan seluruh kekuatan kami. Kami tidak akan berdiam diri melihat institusi pendidikan Islam umat dicemari oleh mereka yang tidak pernah faham tentang tarbiah Islam sebenar.
“PASTI bukan milik kerajaan. PASTI adalah milik semua dan kami tidak akan izinkan ia dijadikan alat liberalisasi dan propaganda kerajaan Zahid. Tegas. Berani. Berprinsip. Kami sedia berdepan.
“Demi Islam dan generasi akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang. – HARAKAHDAILY 11/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan