'Jika guna formula Akmal, BN tak layak dapat kerusi di Selangor, Pulau Pinang'


Berita
'Jika guna formula Akmal, BN tak layak dapat kerusi di Selangor, Pulau Pinang'

Diterbitkan: May 10, 2025 1:34 PM
Dikemaskini: 1:52 PM

Pemuda PKR (AMK) membidas Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh yang mengatakan BN tidak akan menyerahkan mana-mana kerusi yang dimenangi kepada PH bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengarah Komunikasi AMK, Haziq Azfar Ishak berkata, jika 'formula' Akmal dijadikan asas rundingan, BN tidak layak mendapat kerusi dengan bilangan tiga kali ganda lebih banyak pada PRN Selangor berbanding keputusan BN di DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Lebih parah lagi, BN mungkin tidak layak menerima walau satu kerusi pun dalam agihan PRN Selangor dan Pulau Pinang yang lalu memandangkan tiada kerusi dimenangi mereka dalam kerusi Parlimen pada PRU15 di negeri-negeri tersebut jika mahu dinilai dengan prestasi pilihan raya terkini sekiranya formula Akmal Saleh diguna pakai," katanya dalam satu kenyataan.

Haziq berkata, kenyataan Akmal juga mencerminkan keengganan untuk mengambil kira prestasi semasa, termasuk keputusan pilihan raya selepas PRN Melaka, kekuatan jentera, penerimaan rakyat setempat, serta potensi kemenangan dalam menentukan agihan kerusi.

"Pendekatan keras dan bersifat dominasi seperti ini langsung tidak menambah nilai dalam mana-mana perbincangan politik, apatah lagi dalam usaha membina muafakat dalam Kerajaan Perpaduan,” tambahnya.


Pada 8 Mei lalu, Akmal menolak cadangan DAP agar BN dan PH masing-masing bertanding 14 kerusi iaitu separuh daripada 28 kerusi DUN di Melaka pada PRN akan datang.

"Jika nak juga, kita bertanding di tempat yang sama. Mudah sahaja. Untuk beri kamu, tidak sama sekali, dan boleh teruskan bermimpi,” kata Akmal yang juga exco negeri Melaka.

Sebelum itu, China Press melaporkan bahawa sembilan cawangan DAP di Melaka sebulat suara menyokong strategi “14+14” – yang bermakna BN perlu memberikan sebahagian kerusi yang mereka miliki sekarang kepada PH.

Pada PRN Melaka 2021, BN menang besar dengan 21 kerusi, diikuti PH lima kerusi dan PN dua kerusi, dalam saingan tiga penjuru.

Bagaimanapun pada PRU15, BN tewas kesemua enam kerusi Parlimen di Melaka, dengan PH dan PN masing-masing menang tiga kerusi.

Dalam kenyataan berasingan, DAP cawangan Taman Makmur di Masjid Tanah turut menyokong cadangan pembahagian kerusi sama rata itu.

Mereka juga menyatakan sokongan penuh kepada calon kerajaan perpaduan yang akan bertanding di kawasan Parlimen Masjid Tanah.

Pengerusinya, Lim Kim Fok, berkata, formula tersebut bertujuan meningkatkan peluang kemenangan kerajaan perpaduan serta menzahirkan semangat kerjasama antara BN dan PH.

Adun Kota Laksamana, Low Chee Leong, memaklumkan usul itu akan dibawa ke mesyuarat jawatankuasa DAP Melaka yang akan datang.

Ulasan