
Kalau jenis cerca ulama, eloklah melukut di tepi DAP
May 2, 2025
ALOR SETAR: Penghinaan yang dihamburkan terhadap Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tidak sesekali melemahkan beliau, bahkan para penghinanya yang semakin lemah dimakan ‘rakan-rakan’ politik mereka sendiri.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, terdapat seorang pimpinan utama parti PAN dengan lantangnya mengatakan Tuan Guru sebagai ulama su’ atas alasan kononnya menipu dan menfitnah pihak lain.
“Soalannya, siapa yang menipu dan menfitnah selama ini? Siapa yang mengkhianati perjuangan ketika bersama dengan PAS dan tunduk kepada desakan ‘musuh politik’?
“Siapa yang berjuang tidak mahu PAS bersama Umno, kemudian merekalah yang lebih Umno daripada Umno hari ini?” kata beliau pada hantaran kenyataannya kepada Harakahdaily, di sini semalam.
Dato’ Ahmad yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata demikian bagi mengulas tuduhan seorang pemimpin PAN melalui satu video yang dimuat naik ke media sosial, di sini.
Melalui video berdurasi 28 saat itu, pemimpin berkenaan dengan bangganya mendakwa kononnya Tuan Guru Presiden PAS seorang ulama su’ dan sanggup berbohong, menipu dan memfitnah.
Beliau juga turut mendakwa para asatizah dan ulama di dalam PAS adalah jenis yang boleh dijual beli.
“Saya jadi ahli PAS 32 tahun, tapi dululah…dulu…tapi sekarang minta maaflah,” dakwa pemimpin PAN itu lagi.
Berikutan itu kata Dato’ Ahmad, beliau bersyukur orang dan golongan seperti itu tidak bersama lagi dengan PAS.
“Kalau anda bukan pencinta ulama, bahkan mencerca ulama, menjadi makanan harian, eloklah melukut di tepi DAP,” bidas Ahli Parlimen Pokok Sena itu lagi. – HARAKAHDAILY 2/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan