
'Kalau tak kena cara, kehebatan Petronas hanya tinggal sejarah' - Radzi Jidin
04 Mei 2025 04:49pm
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk tidak membiarkan isu yang berlaku antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berlarutan berpanjangan.
Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, isu kerajaan Sarawak yang mengeluarkan surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas iaitu Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) atas dakwaan melanggar Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) perlu dikendalikan secara berhemah.
“Kerajaan tidak boleh membiarkan isu Petronas dan Petros berterusan.
“Jika tidak ditangani dengan betul, kehebatan Petronas hanya akan tinggal sejarah,” kata bekas Menteri Kanan Pendidikan itu menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sebelum ini, Petronas mengesahkan bahawa PCSB menerima notis pada 30 April daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas yang didakwa dilakukan secara haram.
Syarikat minyak negara itu bagaimanapun memaklumkan bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam melaksanakan tugasnya.
Terdahulu, Business Times melaporkan bahawa kerajaan negeri Sarawak telah memulakan tindakan undang-undang terhadap PCSB dengan mendakwa syarikat berkenaan menjalankan operasi secara haram di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT).
Menurut laporan tersebut, satu notis undang-undang telah dikeluarkan dengan tempoh 21 hari diberikan untuk mendapatkan lesen dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat terbabit dikenakan penalti kewangan.
Untuk rekod, Seksyen 7(e) DGO merupakan undang-undang negeri yang mewajibkan lesen bagi mengendalikan saluran paip gas dan kemudahan berkaitan di negeri tersebut.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kadar segera bagi memuktamadkan urusan antara Petronas dan Petros sebaik Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pulang daripada lawatan rasmi ke London, United Kingdom (UK).
Beliau turut menyeru semua pihak agar menangguhkan sebarang tindakan atau mengeluarkan kenyataan berhubung perkara berkenaan demi kepentingan bersama.
Ulasan
Catat Ulasan