
KDN FC, Annuar Musa bergabung
20 Mei 2025 07:04am
Masa membaca: 2 minit
KELAB Bola Sepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) mengesahkan pasukan itu bersedia bergabung dengan tokoh pembangunan bola sepak di negeri ini, Tan Sri Annuar Musa dalam usaha mengembalikan semula zaman kegemilangan sukan nombor satu itu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Irwan Rizal Ali Napiah berkata, pengalaman luas Annuar amat dialu-alukan untuk kebaikan pasukan.
"Jangan kita menidakkan jasa, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh Annuar.
"Jadi, apa yang beliau buat dengan melihat pada hantaran di laman sosial Facebook, kita menghargai pengalaman, kepakaran dan rangkaian yang dimiliki Annuar," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersama Kelab Penyokong dan Peminat di sini pada Isnin.
Menurut beliau, perkara itu membantu persiapan kelab secara keseluruhan.
Annuar sebelum itu mencetuskan tanda tanya apabila memuat naik hantaran mengenai hasrat membantu memulihkan semula pasukan KDN FC dan bola sepak di negeri ini.
Hantaran itu menimbulkan pelbagai reaksi positif dalam kalangan peminat yang mahu bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu kembali memajukan semula sukan berkenaan.
Annuar merupakan tokoh pembangunan bola sepak Kelantan yang telah berjaya membawa transformasi luar biasa kepada sukan di negeri ini apabila merangkul kejuaraan Piala Malaysia pertama pada 2010.
Ia sekali gus menamatkan penantian selama 89 tahun untuk menjulang piala paling berprestij di tanah air itu.
Kelantan terus mencipta kegemilangan di bawah teraju Annuar apabila meraih beberapa lagi kejayaan dalam arena bola sepak negara.
Paling manis, Kelantan melakar sejarah baharu bola sepak di negeri Serambi Makkah ini dengan meraih kejuaraan treble pada tahun 2012 sekali gus melengkapkan zaman gemilang di bawah pimpinan Annuar.
Selain itu, Kelantan turut gah di Piala AFC apabila layak sehingga ke saingan suku akhir pada tahun 2012, namun tewas kepada kelab Iraq iaitu Arbil FC.
Ulasan
Catat Ulasan