
Kerajaan dilihat tidak serius tangani isu tarif Amerika
May 5, 2025
KUALA LUMPUR: “Inilah tahap serius kita?” persoal Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) terhadap kelewatan kerajaan memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu tarif unilateral Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS menyifatkan kerajaan bertindak terlalu lewat berbanding negara serantau lain telahpun mengambil tindakan pantas dan strategik sejak awal April lalu.
“Vietnam misalnya telah mengadakan sidang khas pada 3 April dan berjaya mendapatkan penangguhan 90 hari bagi 90 jenis tarif. Thailand pula telah mengadakan sidang tergempar pada 25 April.
“Menteri Kewangan Thailand membentangkan pelan rundingan semula cukai import,” katanya dalam sesi perbahasan Sidang Parlimen Khas Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Singapura, ujar beliau lagi, walaupun sedang menghadapi pilihan raya umum, tetap mengambil tindakan proaktif dengan mengumumkan penubuhan pasukan petugas nasional pada 8 April lalu.
Sebaliknya, Malaysia hanya memanggil sidang khas pada hari ini, 5 Mei 2025 yang disifatkannya terlalu lewat dan membayangkan ketidaksungguhan kerajaan menangani isu penting ini.
Ahmad Fadhli turut melahirkan kekecewaan kerana tiada seorang pun Menteri hadir dalam dewan ketika beliau berucap yang juga dipertikaikan keseriusan pihak kerajaan terhadap isu itu.
“Ini sidang sehari sahaja. Tapi Menteri-menteri tiada. Nanti masing-masing sibuk nak buat video TikTok, nak buat majlis raya,” sindir beliau sambil menegaskan bahawa ketiadaan Menteri memberi isyarat jelas tentang betapa isu ini tidak diberi keutamaan.
Dalam ucapannya, Ahmad Fadhli turut mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa kenaikan tarif oleh Amerika sebagai perkara tidak dijangka.
“Eh, seluruh dunia sudah menjangka perkara ini sejak kempen Presiden Amerika lagi. Tapi kita kata tidak dijangka? Ini mengelirukan,” tegasnya sambil menyatakan isu ini telah memberi kesan kepada jutaan ringgit hasil eksport negara.
Lebih mengecewakan katanya, kerajaan hanya menghantar pegawai kanan yang agak junior untuk berunding di Washington.
“Negara jiran seperti Indonesia menghantar Menteri Penyelaras Ekonomi setaraf Menteri Kewangan, manakala Vietnam menghantar Timbalan Perdana Menteri mereka. Kita pula hantar Timbalan Ketua Setiausaha,” katanya, membayangkan kelemahan dari sudut representasi.
Ahmad Fadhli turut menyelar keputusan kerajaan membenarkan Menteri Ekonomi bercuti selama sebulan dalam keadaan negara sedang berdepan krisis ekonomi.
“Tak munasabah! Kita dalam perang ekonomi, tapi beri cuti sebulan kepada Menteri yang pegang portfolio penting,” tegasnya sambil menyifatkan perkara ini sebagai luar biasa dan memberi isyarat salah kepada masyarakat antarabangsa.
Dalam sesi sama, beliau membawa perhatian Dewan terhadap kebergantungan Malaysia kepada dua kuasa besar iaitu Amerika Syarikat dan China dalam sektor perdagangan.
“Tahun 2024, lebih 25 peratus eksport negara bergantung kepada dua negara ini. China telah menjadi rakan dagang terbesar kita selama 16 tahun berturut-turut dengan nilai perdagangan lebih USD212 bilion,” katanya.
Menurut beliau, walaupun data ini kelihatan mengagumkan di atas kertas, hakikatnya ia amat berisiko.
“Bila mereka hulur, kita gembira. Tapi bila mereka tarik balik, kita terduduk. Kita ibarat rumput di tengah dua ekor gajah yang sedang bergasak,” ujarnya sambil menegaskan Malaysia perlu kekal neutral dan bebas dari sebarang pengaruh besar kuasa dunia.
Ahmad Fadhli turut mempersoalkan pengumuman kerajaan berhubung dana tambahan kepada Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan meminta penjelasan sama ada dana itu benar-benar baharu atau sekadar pengulangan kepada peruntukan lama.
“Saya cadangkan kerajaan membentuk konsortium PKS, memperkasa SME Go Global dan memperluas tabung eksport Bumiputera. Kita mahu dalam tempoh lima tahun tiada mana-mana negara menyumbang lebih 10 peratus kepada eksport kita,” ujarnya.
Ahmad Fadhli turut mengkritik struktur ekonomi Malaysia yang terlalu bergantung kepada aktiviti pemasangan dan pengeluaran margin rendah seperti elektronik dan automotif.
“Walaupun sektor pembuatan mencatatkan jualan RM881.8 bilion pada suku keempat 2024, ia disumbang oleh produk margin rendah. Graduan universiti pula terpaksa mengemis pekerjaan setimpal,” katanya.
Beliau menyeru supaya Malaysia beralih kepada industri berteknologi tinggi dan bernilai tinggi seperti semikonduktor dan tenaga boleh diperbaharui.
“Terengganu contohnya, ada 7.19 juta tan unsur nadir bumi iaitu 44 peratus dari jumlah nasional. Wilayah seperti Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu punya potensi besar dengan kos operasi rendah dan tanah luas,” katanya.
Ahmad Fadhli menyatakan bahawa kelemahan kerajaan ialah kerana hanya bersikap reaktif dalam menangani krisis perdagangan, tanpa ada perancangan awal dan jaringan serantau yang kukuh.
Beliau membandingkan situasi ini dengan pendekatan ketika negara berdepan isu Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 2013, di mana kerajaan ketika itu menubuhkan jawatankuasa dwipartisan melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang.
“Sekarang tiada langsung perbincangan sebegitu. Kita sedang hadapi isu sebesar TPPA tetapi kerajaan gagal menghimpunkan konsensus nasional,” tegasnya.
Dalam akhir ucapannya, Ahmad Fadhli mengingatkan bahawa pelabur luar memerhati setiap tindakan dan kenyataan kerajaan.
“Jika kenyataan Perdana Menteri (PM) sendiri bercanggah dengan realiti, seperti dalam kes rundingan PETRONAS, ia menjejaskan keyakinan pelabur,” katanya.
Beliau menegaskan keperluan kerajaan memperlihatkan pendirian yang konsisten, telus dan meyakinkan agar Malaysia kekal kompetitif di mata pelabur antarabangsa.
“Jangan kita ulang kesilapan lama. Jangan sampai kita hanya jadi pemain pinggiran, sekadar pembekal bahan mentah kepada kuasa besar,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/5/2025
Ulasan
Catat Ulasan