Kerja empat hari setengah di Johor: Apa status?


Kerja empat hari setengah di Johor: Apa status?
May 15, 2025

KLUANG: Cadangan Kerajaan Johor untuk melaksanakan sistem kerja empat hari setengah dalam seminggu masih tergantung tanpa sebarang keputusan rasmi daripada Kerajaan Persekutuan, meskipun telah dikemukakan sejak hujung tahun lalu.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai kesungguhan pihak berkaitan dalam merealisasikan inisiatif yang dijangka memberi manfaat besar kepada rakyat, terutama penjawat awam.

“Cadangan yang dikemukakan kepada Kerajaan Pusat namun sehingga ke hari ini masih belum ada kata putus dari Jemaah Menteri. Cadangan itu dapat memberikan banyak manfaat kepada rakyat khususnya penjawat awam.

“Ia adalah sangat wajar dilaksanakan, dan saya telah pun memberikan sokongan kepada cadangan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, pada Rabu.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS, melahirkan rasa kecewa apabila tiada sebarang tindakan mahupun pelaksanaan berlaku selepas hampir enam bulan cadangan tersebut diketengahkan.

“Adakah ia mendapat tentangan daripada Kerajaan Pusat atau pun Kerajaan Johor telah menarik kembali cadangan yang telah dikemukakan sebelum ini?” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar Menteri Besar Johor tampil memberikan penjelasan rasmi berhubung status terkini cadangan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan spekulasi dalam kalangan rakyat.

Terdahulu, Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri itu kepada hanya empat hari setengah.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Onn berkata, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.

“Bagaimanapun, ia perlu mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2025

Ulasan