
Kes 1MDB: Bicara bela diri Najib selesai
06 Mei 2025 03:56pm
Masa membaca: 2 minit
PUTRAJAYA – Selepas 26 saksi selesai memberi keterangan membela Datuk Seri Najib Tun Razak, perbicaraan bela diri bekas Perdana Menteri itu dalam empat kes menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama selesai pada Selasa.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil saksi terakhir, pakar analiss dokumen forensik dari PHA Handwriting Analysis Sdn Bhd, Tay Eue Kam.
“Semasa perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019, ia berakhir pada 30 Mei 2024 yang mana melibatkan keseluruhan 233 hari dengan 50 saksi pendakwaan.
“Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan Datuk Seri Najib membela diri, dengan hari pertama prosiding pembelaan pada 2 Disember 2024 dan ia berakhir pada 6 Mei 2025, mengambil masa 58 hari dengan 26 saksi,” katanya.
Selepas mendengar perkara itu, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) kemudian menetapkan 30 September depan hujahan bertulis sementara 21 Oktober untuk hujahan lisan.
Najib, 72, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Ulasan
Catat Ulasan