
Kita main 'bola' sikit-sikit dengan Petronas - Premier Sarawak
04 Mei 2025 05:14pm
Masa membaca: 2 minit
Abang Johari (kiri) ketika program Lan Berambeh Edisi UK di London pada Sabtu. Kredit Facebook/ UKAS.
SHAH ALAM - Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu berhubung isu Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Beliau yang kini berada London, United Kingdom (UK) berkata, penyelesaian isu tersebut berteraskan pendekatan menang-menang bagi kedua-dua pihak.
“Isu minyak dan gas ini, adalah kita (kerajaan negeri Sarawak) bermain 'bola' sikit-sikit dengan Petronas (dalam nada seloroh). Saya pasti anda sudah mengikuti perkembangan semasa berhubung isu tersebut.
“Namun, kita akan selesaikan perkara ini, malah Anwar sudah hubungi saya (pagi Sabtu waktu London) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya," katanya.
Abang Johari mendedahkan perkara itu ketika sesi Townhall Agenda Sarawak sempena program Lan Berambeh Anak Sarawak 2025, Edisi UK di London.
Beliau berpandangan, penyelesaian itu turut berasaskan kepada keikhlasan bahawa hasil minyak dan gas negara perlu dikongsi secara adil.
Sebelum ini, Petronas mengesahkan bahawa anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) menerima notis pada 30 April daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan dan pengedaran gas yang didakwa dilakukan secara haram.
Syarikat minyak negara terbabit bagaimanapun memberitahu bahawa PCSB diberi kuasa mengikut undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktiviti syarikat dan mematuhi semua undang-undang yang terpakai dalam berbuat demikian.
Terdahulu, Business Times melaporkan, kerajaan negeri Sarawak memulakan tindakan undang-undang terhadap PCSB dan mendakwa syarikat berkenaan menjalankan operasi secara haram di Terminal Minyak Mentah Miri (MCOT).
Menurut laporan tersebut, satu notis undang-undang dikeluarkan dengan tempoh 21 hari diberi untuk mendapatkan lesen dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan syarikat terbabit dikenakan penalti kewangan.
Untuk rekod, Seksyen 7(e) DGO merupakan undang-undang negeri yang mewajibkan lesen bagi mengendalikan saluran paip gas dan kemudahan berkaitan di negeri itu.
Ulasan
Catat Ulasan