KKFP jangan sekadar gimik tanpa tindakan konkrit


KKFP jangan sekadar gimik tanpa tindakan konkrit

Kewujudannya iktiraf masalah ketirisan membarah era Madani
May 19, 2025

KUALA LUMPUR: Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang melibatkan enam agensi kerajaan dan badan profesional tidak boleh menjadi sekadar gimik reformasi, sebaliknya mesti membuahkan hasil yang tegas dan telus dalam membanteras penyelewengan dana awam.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun langkah itu dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap masalah ketirisan yang membarah, rakyat sudah terlalu biasa dengan pelbagai jawatankuasa dan suruhanjaya, tetapi akhirnya senyap tanpa sebarang tindakan konkrit.

“Namun demikian, kita tidak mahu penubuhan KKFP ini menjadi satu lagi gimik reformasi yang hanya gah pada nama, tetapi longgar dalam pelaksanaan. Rakyat sudah terlalu biasa dengan pelbagai bentuk jawatankuasa, ‘task force’ dan suruhanjaya yang akhirnya senyap tanpa hasil konkrit.

“Lebih mengecewakan, ada kalanya siasatan seolah-olah terpilih, menyasarkan pembangkang tetapi menutup mata terhadap salah laku dalam kalangan kerajaan,” katanya ketika dihubungi _Harakahdaily_, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas menegaskan bahawa perkara yang lebih penting ialah keberanian untuk bertindak tegas dan telus tanpa memilih bulu.

“Adakah KKFP ini juga akan menyiasat dakwaan rasuah melibatkan tokoh-tokoh besar kerajaan yang kini tular dalam pelbagai pendedahan, termasuk video yang mengaitkan penerimaan dana tidak diisytihar oleh pimpinan utama kerajaan?

“Saya mengulangi pendirian tegas bahawa sebarang usaha membanteras penyelewengan dana rakyat mestilah bebas daripada pengaruh politik dan berteraskan prinsip ketelusan, integriti dan keadilan.

“Jika benar kerajaan ikhlas, buktikan melalui pendakwaan terhadap mereka yang terlibat, bukan sekadar kenyataan media dan majlis pelancaran,” katanya.

Ahmad Fadhli turut menegaskan bahawa rakyat tidak memerlukan lebih banyak jawatankuasa, sebaliknya mengharapkan lebih banyak tindakan konkrit.

Terdahulu, enam agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan KKFP sebagai satu sistem amaran awal yang mampu mengesan ketirisan dalam perolehan dan agihan dana awam semakin membimbangkan.

Ia turut dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, serta agensi lain membabitkan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Juga Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta Institut Akauntan Malaysia (MIA) turut menjadi badan profesional yang turut menyertai KKFP.

Azam berkata, KKFP akan menjadi sistem amaran awal yang mengesan ketirisan dalam perolehan dan agihan dana awam; dan menjadi pemangkin reformasi dalam penyampaian laporan kewangan yang telus dan bertanggungjawab.

Katanya, KKFP dijangka berpotensi menjadi satu ‘game changer’ dalam landskap pengurusan integriti. – HARAKAHDAILY 19/5/2025

Ulasan