Konflik India-Pakistan bakal masuki fasa lebih berbahaya?


Konflik India-Pakistan bakal masuki fasa lebih berbahaya?
May 10, 2025

KETEGANGAN antara India dan Pakistan meningkat dengan mendadak malam tadi berikutan serangan udara yang diselaraskan oleh kedua-dua pihak merentasi infrastruktur tentera dan awam yang sensitif.

Tengah malam semalam, India mula melakukan beberapa serangan udara yang menyasarkan fasiliti ketenteraan utama di Pakistan, antaranya:

1. Pangkalan Udara Nur Khan, Rawalpindi

2. Pangkalan Udara Rafiqui

3. Pangkalan Udara Murid

Selain itu, dua dron ‘berani mati’ India dilaporkan ‘melanggar’ sebuah plaza komersial di Gulberg Greens, Islamabad, menyebabkan sekurang-kurangnya seorang orang awam cedera.

Sebagai tindakan balas, tentera Pakistan melancarkan serangan peluru berpandu berkelajuan tinggi sekitar jam 1:40 pagi, menyasarkan beberapa fasiliti tentera India di antaranya:

1. Pangkalan Udara Udhampur

2. Pangkalan Udara Pathankot

3. Pangkalan Udara Jalandhar

4. Pangkalan Udara Srinagar

Lebih 20 fasiliti tentera India dilaporkan telah diserang. Ketika ini keadaan kembali tenang berikutan berakhirnya serangan balas Pakistan.

Namun ketika ini dilaporkan bahawa tentera kedua-dua negara telah berada di sempadan kedua-dua negara khususnya di Kashmir dan ‘Line Of Contact’ dalam jumlah yang amat besar.

Berdasarkan keadaan semasa, langsung tidak nampak bahawa keadaan akan kembali tenang malah ketegangan akan terus memuncak.

Pemimpin tentera tertinggi kedua-dua negara turut memanggil mesyuarat tergempar bagi menilai keadaan semasa selepas berakhirnya serangan udara tentera Pakistan awal pagi tadi.

Adakah perang akan memasuki fasa seterusnya yang lebih berbahaya?

YB DR MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 10/5/2025

Ulasan