Lapan suspek naik lima kereta disyaki larikan Pamela - Polis


Lapan suspek naik lima kereta disyaki larikan Pamela - Polis

08 Mei 2025 01:36pm
Masa membaca: 1 minit

KUALA LUMPUR - Seramai lapan suspek dipercayai terbabit dalam kejadian melarikan Datin Seri Pamela Ling Yueh, berhampiran Ibu Pejabat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pada 9 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua lapan suspek itu dikesan berdasarkan lima buah kenderaan yang dinaiki.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek yang keluar dari kenderaan untuk melarikan Pamela dari kereta e-hailing yang dinaikinya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Rusdi berkata, sebelum ini pihaknya telah mendedahkan pembabitan tiga kenderaan yang bertindak menghalang kereta e-hailing dinaiki Pamela.

"Berdasarkan siasatan tiga kereta yang dikesan telah melakukan halangan adalah jenis Toyota Camry, Nissan Almera dan Nissa Teana, manakala dua lagi kereta yang dikesan berada di bahagian paling hadapan dan belakang.

"Kita percaya peranan dua lagi kenderaan itu adalah memastikan situasi untuk 'melancarkan' tindakan mereka melarikan Pamela," katanya.

Rusdi berkata, setakat ini polis menganggarkan sekurang-kurangnya lapan individu terbabit dalam kejadian melarikan Pamela.

"Mungkin paling kurang lapan atau lebih dari lapan individu yang terbabit dalam kes itu," katanya.

Ulasan